Oleh: BERNAMA
HONOLULU: Wujud keperluan untuk mengkaji semula sektor penerbangan awam bagi tujuan meningkatkan keupayaannya dan mengatasi kelemahan yang dikesan berikutan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.
Semasa menyatakan perkara itu, Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, landskap keselamatan dan pertahanan juga perlu disemak semula untuk mengatasi apa yang mungkin dianggap sebagai kelemahan susulan insiden kehilangan pesawat itu sejak lebih tiga minggu lepas.
"Kami mungkin perlu melihat kepada perkara seperti satelit, radar dari segi kepakaran yang diperlukan serta pemerolehan aset," kata Hishammuddin yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan kepada Bernama di sini Rabu.
Beliau berada di sini untuk menghadiri Forum Pertahanan Amerika Syarikat-Asean, hasil inisiatif oleh Setiausaha Pertahanan AS Chuck Hagel.
Forum itu yang pertama kali diadakan dijadualkan berlangsung pada Khamis dan didahului dengan sesi meja bulat keselamatan bukan tradisional pada Rabu.
Penerbangan MH370, membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang di kawasan Laut China Selatan pada 8 Mac lepas semasa dalam penerbangan ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam.
Misi pencarian besar-besaran melibatkan pelbagai negara untuk mengesan pesawat yang dipercayai jatuh di selatan Lautan Hindi itu sedang dilakukan di perairan Perth, Australia.
Berkongsi apa yang dibincangkan beliau dalam interaksi di sini berhubung MH370, Hishammuddin berkata: "Kami berbincang tentang masa depan, tentang fasa akan datang - bukan bermaksud kami mendoakan masa itu akan tiba.
"Kami akan menggunakan teknologi yang ada, siapa milikinya, apa perlu dilakukan. Dan gesaan bagi perkongsian kepakaran dalam kalangan negara Asean," katanya.
Dalam kenyataan dibuat di Perth pada Khamis, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, 10 pesawat dan sembilan kapal sedang melakukan pencarian di Lautan Hindi bagi sebarang petunjuk berkaitan pesawat yang hilang itu.
Berhubung kehadiran menteri-menteri pertahanan Asean di Hawaii, Hishammuddin berkata, Asean menghadiri forum itu sebagai satu pasukan.
"Apa yang ingin saya katakan adalah sekiranya kita hadir secara sendirian, tiada siapa akan hiraukan kita," katanya.
Menteri Malaysia itu menegaskan Asean yang bersatu akan dihormati dan ini akan mendorong negara-negara lain tampil menghulurkan sokongan dan bantuan yang
amat diperlukannya.