Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Selepas Langkah Kajang, sekarang ‘Langkah Kelantan’

$
0
0


Oleh Abdullah Zaik Abd Rahman

Kerajaan persekutuan seperti yang diumumkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bersedia untuk membantu Kelantan dalam melaksanakan hukum jenayah syariah (hudud) di negeri itu.

Saya tidak pasti sama ada PAS masih memperjuangkan pelaksanaan hukum jenayah hudud di Malaysia jika parti itu berjaya ke Putrajaya tetapi difahamkan masih lagi menjadi cita-cita dan komitmen kerajaan PAS di Kelantan.

Dengan pengakuan Jamil Khir tersebut bermakna kebimbangan kerajaan pusat akan menghalang kerajaan negeri melaksanakan hudud sudah tidak ada lagi.

Bahkan Jamil Khir menyatakan komitmen kerajaan pusat untuk memberi laluan dan sedia membantu.
Daripada sudut itu kerajaan negeri Kelantan seharusnya bersegera mengambil kesempatan untuk menjayakan cita-cita yang sudah lama tertangguh ini.

PAS tidak perlu berdalih dan menolak isu kepada Umno kerana pelaksanaan hudud adalah asal perjuangan PAS sejak dahulu lagi.

Setelah tiada lagi halangan daripada kerajaan pusat, PAS sepatutnya – bertitik tolak daripada keimanan dan keyakinan perjuangan – mengambil langkah seterusnya.

Saya namakan langkah ini sebagai “Langkah Kelantan”. Seperti “Langkah Kajang” ke Putrajaya, maka  “Langkah Kelantan” ke arah pelaksanaan syariat secara menyeluruh di Malaysia.

Pada pendapat saya dalam konteks sistem pemerintahan seperti di Malaysia pelaksanaan hudud Allah secara menyeluruh bukanlah tanggungjawab sebuah kerajaan negeri.

Ini kerana kerajaan negeri tidak memiliki kedaulatan sebuah negara seperti kerajaan pusat, kerana kedaulatan dan kuasa kerajaan negeri tertakluk di bawah kuasa kerajaan di peringkat pusat.
Hudud lebih luas daripada sekadar pelaksanaan beberapa instrumen hukuman jenayah (hudud) semata-mata.

Ia harus dilihat dalam kerangka mendaulatkan syariah secara keseluruhan iaitu pelaksanaan hudud Allah lebih luas merangkumi pelaksanaan syariat secara menyeluruh dalam setiap urusan pentadbiran, perundangan dan pembuatan polisi negara berdasarkan maqasid syarak.

Jadi, adakah kerajaan negeri memiliki mandat yang kuat (kuasa politik) yang tidak boleh dicabar (oleh undang-undang lain) untuk melaksanakan pentadbiran keseluruhan berdasarkan siasah syariah? Jawapannya, tentulah tidak.

Namun saya berharap kenyataan Jamil Khir membawa maksud kerajaan Kelantan dalam usaha dan pelaksanaan hukum hududnya nanti membawa mandat kerajaan pusat.

Tentu banyak aspek perundangan dan perlembagaan perlu diteliti tetapi ia sudah menjadi sebahagaian daripada proses bukan lagi halangan.

Satu perkara yang penting juga disebut selain cabaran memiliki kuasa dan mandat politik yang kuat untuk melaksanakan syariat Islam saya melihat perjuangan syariat yang sebenar masih tertakluk kepada kefahaman pemerintah terhadap kehendak siasah syariah itu sendiri.

Kewajiban melaksanakan siasah syariah berasaskan maqasid sebenarnya lebih luas daripada semata-mata melaksanakan beberapa instrumen hukum jenayah seperti yang difahami oleh sesetengah orang.

Pelaksanaan siasah syariah sewajibnya adalah usaha yang menyeluruh untuk membawa kehidupan manusia mencapai maslahah dan kebahagian hidup di dunia dan di akhirat berlandaskan syariat Islam.

Justeru, pemerintah Islam hendaklah dengan segala upaya dan kesungguhan mengusahakan apa sahaja perancangan dalam semua bidang kehidupan untuk mecapai kecemerlangan hidup di dunia dan juga akhirat dan dalam masa yang sama bertindak tegas terhadap segala perkara yang mengancam kestabilan dan meruntuhkan kerukunan hidup bermasyarakat.

Hukum jenayah hudud harus dilihat sebagai contoh bagaimana Islam memelihara kemaslahatan dan kepentingan hidup manusia dengan tegas tanpa boleh dicabar. Melalui instrumen hukum jenayah syariah kita dapat lihat ketegasan Islam dalam memelihara kehormatan agama, nyawa, harta, akal dan keturunan.

* Penulis adalah Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722