Guna dron bawah air kesan MH370Najib bersama Tony Abbort (dua, kanan) ketika beramah mesra bersama juruterbang dan anak kapal Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) di Pangkalan RAAF Pearce Bullsbrook di Perth, hari ini. - Foto Bernama


PERTH - Sebuah kapal selam robotik atau dron bawah permukaan air diperlukan untuk fasa seterusnya dalam operasi mencari dan mengesan (SAR) MH370 yang hilang di selatan Lautan Hindi, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri Malaysia itu berkata, beliau telah berbincang dengan rakan sejawatannya dari Australia, Tony Abbott mengenai keperluan untuk mendapatkan bantuan daripada negara-negara lain bagi teknologi berkenaan.

Najib berkata teknologi itu diperlukan sebaik pinger bateri pada kotak hitam kehabisan (dalam tempoh empat hari) dan perlu bagi pasukan SAR mencari pesawat berkenaan, Boeing 777-200ER.

Dron bawah permukaan air adalah antara perkara-perkara penting yang dibincangkan kedua-dua pemimpin dalam pertemuan di Commonwealth Centre, di sini, pada Khamis.

Dron bawah permukaan air bergantung kepada denyutan sonar untuk mencari di dasar laut dan ia pernah digunakan untuk membantu mengesan pesawat Air France 447 yang terhempas di Atlantik pada tahun 2009.

"Perbincangan adalah mengenai penggunaan teknologi sonar, dron robotik dan kamera-kamera," katanya kepada wartawan Malaysia sejurus selepas sidang media bersama Abbott, di sini.

Najib berkata pada masa ini operasi mencari menggunakan pesawat dan kapal-kapal tentera laut akan diteruskan meskipun ia adalah usaha mengejar waktu sebelum bateri kotak hitam yang menghantar isyarat ping hilang dalam tempoh beberapa hari lagi.

Beliau juga berkata Malaysia akan menghantar lebih banyak aset untuk turut serta dalam misi carian di kawasan berkenaan, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Pesawat Penerbangan MAS MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada radar pada 8 Mac setelah sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Operasi membabitkan pelbagai negara itu dikerah mencari MH370 bermula di Laut China Selatan dan Selat Melaka sebelum dilakukan di koridor utara yang menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand dan koridor selatan yang meliputi dari Indonesia sehingga ke selatan Lautan Hindi.

Berikutan hasil analisis terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan UK (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah Lautan Hindi, barat Perth.
Najib kemudian mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu, Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".

Ditanya mengenai laporan berita yang mendakwa penyiasatan penerbangan asing akan mengambil alih siasatan kehilangan pesawat itu, beliau berkata: "Di bawah undang-undang antarabangsa, Malaysia mempunyai tanggungjawab mutlak dalam kes berkenaan."
  
Najib turut tersentuh dengan komitmen yang diberikan oleh anggota pasukan SAR berikutan moral mereka masih tinggi walaupun operasi telah berjalan lebih daripada tiga minggu.

Najib menjelaskan lawatan dua hari beliau ke Australia adalah untuk mengucapkan terima kasih kepada pasukan SAR MH370 dan kerajaan Australia secara peribadi termasuk 25 negara atas usaha mereka untuk mengesan pesawat itu.

Turut mengiringi Najib dalam lawatan dua hari bermula semalam itu ialah isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Anifah Aman, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia Tan Sri Rodzali Daud, Penasihat di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamaluddin Jarjis, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Najib dan delegasi dijadual berlepas ke Vietnam untuk lawatan rasmi tiga hari, pada Khamis malam. - Bernama