Oleh Ahmad Tajuddin Abdullah
1 April 2014, ketika seluruh dunia bising dengan April’s Fool, mungkin banyak orang di Malaysia ini menyedari bahawa hari ini juga merupakan ulang tahun ke-68 Radio Televisyen Malaysia (RTM) semenjak penubuhannya pada 1 April 1942 di Singapura, bermula
dengan nama Jabatan Penyiaran sebelum berpindah pejabatnya ke Kuala Lumpur.
Ulang tahun ini wajar diingati oleh rakyat Malaysia kerana pada sifir mudahnya, untuk menilai sejauh mana mentaliti dan cara fikir rakyat negara ini maka teliti dan renungilah kandungan dan prospek penyiaran yang disediakan melalui medium RTM. Mudahnya begitu walaupun ia tidaklah melambangkan hal yang sebenar pada keseluruhan populasi yang wujud di tanah air ini.
68-tahun bukanlah suatu tempoh yang singkat. Bayangkan, usia kemerdekaan negara ini baru mencapai angka 57 tahun. Ini bermakna, RTM pada perkiraan akal manusia pasti lebih matang dan keupayaannya tidak perlu diragui dalam usahanya untuk membentuk minda dan cara fikir masyarakat Malaysia. RTM jauh meninggalkan rakan medianya yang lain dalam menempuh pahit dan duka perjalanan negara ini dari sebuah tanah jajahan kolonial British kepada sebuah negara merdeka yang mempunyai prinsip-prinsip jelas seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
Pengalaman yang dilalui oleh RTM adalah harta karun yang paling bernilai yang tidak ada pada mana-mana arkib dan pusat tinggalan sejarah yang lain. Harta karun ini jika dimanfaatkan potensi dan kekuatan kendirinya sudah pasti RTM hari ini, amat jauh berbeza berbanding keadaannya sekarang.
Pada asasnya, pengalaman yang dilalui RTM selama 68 tahun itu wajar digunakan untuk membina kerangka usaha pembinaan jatidiri warganegara. Setelah terdedah kepada program dan kandungan penyiarannya selama ini, penonton RTM sewajarnya berwatak baik serta bersemangat patriotik. Jika Perdana Menteri Malaysia mengimpikan rakyatnya cintakan negara ini, maka RTM adalah jawapan kepada pertanyaan dan impian beliau.
Namun, setelah 68 tahun RTM menjalankan tugas, dengan jutaan ringgit pelaburan kerajaan ke atasnya saban tahun, dan selepas membaca nota pendek ucapan selamat ulang tahun dari Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia Dato’ Norhyati Ismail di laman Facebook, maka timbul beberapa persoalan-persoalan besar tentang RTM.
Peranan RTM
RTM adalah agensi kerajaan. Itu faham asas yang wajib digarap. Setelah 68 tahun, sejauh mana RTM berfungsi selaku agensi kerajaan, maka agensi ini sepatutnya bebas dari cengkaman mana-mana parti.
Ada yang mempersoalkan, jika RTM sebagai sebuah agensi kerajaan mahu bebas dari kawalan dan cengkaman kerajaan, maka apakah gunanya belanjawan saban tahun uyang diperuntukkan kerajaan kepada agensi tersebut?
Bukankah tujuan agensi kerajaan itu menyampaikan hasrat dan citra kerajaan yang sedang memerintah?
Benar, tiada yang salah. Namun, peruntukan kerajaan itu datang dari wang rakyat, maka RTM bertanggungjawab untuk berlaku adil dalam penyampaian maklumat kepada awam tanpa membiarkan prejudis dan kepentingan politik menghalangnya daripada melaksanakan tugasan dan amanah yang diberikan. Tempoh 68 tahun sepatutnya cukup untuk RTM mengambil iktibar dari amarah dan rungutan rakyat tentang kelemahan RTM menyampaikan laporan secara seimbang.
Jika kerajaan serius dengan agenda Wawasan 2020, maka proses merejuvenisasi RTM secara menyeluruh perlu dibawa ke tengah perbahasan awam.
Kualiti dan Kredibiliti Media Nasional
Jika kita menonton saluran televisyen stesen penyiaran nasional Jepun, Taiwan, atau United Kingdom, rata-rata rakyat negara ini akan termalu dengan sendirinya.
Bermula dari program pengisian harian RTM sejak awal pagi sehingga lewat tengah malam, pada bahagian manakah RTM layak menerima pujian? Beritanya? Atau drama-dramanya? Atau diskusi-diskusi isu semasanya? Atau video pengumuman waktu solatnya sahaja?
Sangat subjektif persoalan ini. Bukan semuanya tidak layak menerima pujian, namun dengan usianya semakin meningkat adalah wajar untuk RTM menilai semula kualiti dan dos keberkesanan program-program yang mereka hidangkan kepada orang ramai. Soal intensiti setiap program penyiaran RTM dari sudut pembangunan pemahaman politik rakyat, keterbukaan dalam meraikan kepelbagaian, kemajmukan pemikiran, kontrak sosial, penghayatan nilai perlembagaan dan lain-lain lagi wajib diperkukuhkan.
Soal penyediaan program yang berkualiti dan benar-benar memenuhi aspirasi rakyat, selain mampu mendidik dan membentuk pemikiran yang bertunjangkan jatidiri negara yang kukuh wajib diambil berat sempena ulang tahun ke-68.
Jika 68 tahun itu berlalu tanpa satu sen duit para pembayar cukai masuk ke poket RTM, maka soalan ini tidak perlu dijawab oleh mereka. Mungkin sudah tiba masanya RTM merasa bertanggungjawab dengan amanah yang mereka pikul.
Pengajaran Dari Konflik MH370
Dalam sejarah RTM, tidak banyak isu besar yang terjadi di negara ini yang benar-benar mampu menguji keupayaan dan kredibiliti mereka dalam penyampaian maklumat sehinggalah muncul isu kehilangan pesawat MH370.
Dari kejadian ini sepatutnya semakin jelas bagi RTM bahawa mereka sedang berada pada zaman maklumat benar-benar berada di hujung jari.
Zaman ini, sebagai contoh, berbeza dengan ketika peristiwa berdarah Memali terjadi, sewaktu RTM adalah satu-satunya medan hebahan maklumat untuk sekalian warganegara Malaysia. Di zaman Memali, sukar untuk diperdebatkan benar atau salah sesuatu maklumat, apatah lagi untuk mendapatkan sisi pandang lain berkenaan isu tersebut.
Berlainan di zaman sekarang ketika kita berdepan dengan tragedi MH370 apabila saluran media bukan saja makin bertambah, malah RTM harus bersaing juga dengan media antarabangsa yang kini cukup mudah untuk dicapai oleh rakyat Malaysia.
Tahun ke 68 RTM bernafas, mereka diuji dengan tragedi MH370. Namun pengalaman yang ditimba sepanjang tempoh itu sudah tentu boleh digunakan oleh RTM untuk membuat perubahan.
Kita memerlukan media yang memerdekakan minda rakyat dari belenggu perhambaan akal dan agenda pembodohan yang berstruktur. RTM harus berperanan membebaskan pemikiran rakyat dan menjadi medan untuk rakyat menyampaikan buah fikiran mereka dengan berkesan.
Selamat Ulang Tahun Ke-68 RTM!