Tun Musa Hitam adalah tokoh politik daripada Johor yang disegani oleh kawan dan lawan. Keberaniannya untuk melontarkan padangan walaupun tidak popular di kalangan rakan seusia tidak menjadi halangan kepadanya untuk membuat tindakan. Semasa diamanahkan sebagai Timbalan Presiden UMNO, Musa Hitam telah membuat perkara-perkara berikut :
i. Membuat gesaan agar UMNO Johor memberikan ruang kepada pemimpin muda untuk mengambil alih tampok pemerintahan. Akhirnya pada tahun 1985 menyaksikan bagaimana kumpulan orang Muda dalam UMNO Johor yang mendapat dorongan daripada Musa Hitam telah mencabar kedudukan Ketua UMNO di peringat Bahagian-bahagian termasuklah mantan MB Johor Othman Saat telah dicabar oleh Ketua Pemuda UMNO Johor iaitu Muhyiddin Yassin di Pagoh. Kesannya, cuma Ketua Bahagian Muar, Labis dan Pagoh sahaja yang kekal dengan penyandang jawatan Ketua Bahagian yang lama.
ii. Musa Hitam menegur dan mengkritik Othman Saat kerana dilihat bersifat autokratik dalam pemerintahannya sebagai MB Johor. Musa Hitam juga menegur dan mengkriti sikap Othman Saat yang gemar mengagihkan kawasan balak dan tanah kepada individu yang cenderong kepadanya dan atas pertimbangan politik.
iii. Semasa menjadi Pengerusi UMNO Johor, Musa telah mengarahkan agar setiap wakil rakyat dan Ketua Bahagian UMNO mengistiharkan harta dengan tujuan untuk membersihkan UMNO daripada penyelewengan.
Musa Hitam juga mempunyai rekod yang ‘tidak baik’ dengan Dr Mahathir. Musa Hitam pernah mengambil tindakan yang mengejutkan banyak pihak apabila meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1986 walaupun selepas itu telah menarik balik perletakkan jawatan tersebut. Ia berpunca daripada sikap Dr Mahathir yang menuduh Musa terlibat dalam memburuk-burukkan Dr Mahathir.
Musa Hitam telah bertanding mempertahankan jawatan Timbalan Presiden UMNO dan bergabung dengan Tengku Ghazaleigh melawan Mahathir pada tahun 1987 dan ketika ini timbullah ‘Team A’ dan ‘Team B’ yang mana Team B telah kalah dalam satu saingan yang sengit.
Musa Hitam ‘tidak gemar’ dengan pemimpin yang bersifat autokratik seperti yang diamalkan oleh Othman Saat di Johor. Kerana itu juga, Musa Hitam tidak serasi dengan Dr Mahathir yang mempunyai sifat yang sama.
Cuma, perkara yang mengejutkan kita ketika ini adalah pendedahan Musa Hitam bahawa Dr Mahathir sebenarnya berada di Malaysia ketika operasi pada 19 November 1985 di kampung Memali, Baling, Kedah setelah hampir 30 tahun ia berlalu.
Kenapa tidak Musa Hitam dedahkan semasa beliau ‘merajuk’ dan membawa diri ke kota London selepas meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Kenapa juga, beliau tidak dedahkan semasa berlakunya pertembungan di antara ‘Team A’ dan ‘Team B’ ?
Jawapan itu sudah tentu ada pada Musa Hitam, dan mungkin juga ada pada Dr Mahathir kerana mereka yang lebih tahu kenapa ia dilaporkan begitu sehingga Musa terpaksa menanggung segala cacian dan makian kerana operasi Baling ini telah mengorbankan 14 orang dan puluhan lagi cedera.
Pendedahan sensasi ini dilihat bakal membuka episod baru pertembungan Musa Hitam dengan bekas ‘boss’nya.
Namun, perkara yang paling utama ketika ini adalah pendedahan perkara yang sebenarnya berlaku dan apakah ia seperti yang didakwa oleh parti pemerintah selama ini ia bertujuan untuk menghapuskan ajaran sesat.
Inilah peluang untuk Musa Hitam merungkai segala yang tersirat dan ruang untuk beliau membetulkan fakta yang terselindung.
Bak kata pepatah ; Alang-alang mandi biar basah, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.