KELAB GREENBOC
Saintis dunia ramal pencarian MH370 akan gagal
Saintis David Mearns meramalkan misi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal yang hilang sejak 8 Mac akan menemui kegagalan, berdasarkan kepada petunjuk sedia ada.
"Saya terpaksa bersikap pesimistik dengan menyatakan misi pencarian MH370 berdepan kesukaran untuk menemukan rangka pesawat itu di dasar laut di selatan Lautan Hindi berdasarkan petunjuk yang ada," katanya dipetik daripada temuramahnya dengan China Central Television, Sabtu lalu.
Beliau berkata, tempoh pencarian yang kini sudah melebihi 20 hari akan menyebabkan rangka pesawat itu sudah pun dibawa arus lautan ke pelbagai arah yang tidak diketahui.
"Biarpun jika ada serpihan M370 yang dapat dibawa naik, mustahil untuk menjejak kapal tersebut," katanya.
Mearns, yang juga pakar pencari kapal karam dari United Kingdom, berkata beliau turut berpendapat kotak hitam MH370 tidak mungkin dapat dijumpai walaupun pelbagai peralatan dan teknik sedia ada digunakan.
Katanya, semua peralatan dan kemahiran itu masih tidak berupaya untuk mengesan pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.
"Satu-satunya cara untuk mendapatkan kotak hitam itu adalah dengan mencari dan menapis bangkai atau serpihan pesawat yang ditemui," katanya.
Selain itu, beliau menjangkakan kos pencarian pesawat MH370 lebih tinggi dengan angka mencecah US$45 juta (RM147 juta), mengatasi kos pencarian Air France di Lautan Atlantik pada 2009.
"Pencarian MH370 memerlukan dedikasi yang teramat tinggi dan perbelanjaan beratus juta dolar, memandangkan ia sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.
Pada 24 Mac, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pesawat MH370 disahkan berakhir di selatan Lautan Hindi selepas 17 hari hilang ketika dalam perjalanan ke Beijing dari KLIA pada jam 12.40 pagi.
Bagaimanapun, sehingga kini pasukan mencari dan menyelamat belum menemui rangka atau serpihan pesawat MH370 di kawasan yang dikatakan itu iaitu di kawasan barat Perth, Australia di Lautan Hindi, berdasarkan kepada maklumat diperolehi daripada data satelit. -TMI
PM: Cari hingga jumpa pesawat
Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia komited sepenuhnya terhadap operasi menjejaki Penerbangan MH370 Malaysia Airlines (MAS) dan tidak akan menghentikan pencarian sehingga pesawat itu ditemui.
Ketika operasi mencari memasuki minggu ketiga, Perdana Menteri berkata ingatan dan doa beliau sentiasa bersama keluarga penumpang dan anak kapal pesawat jenis Boeing 777-200ER itu, yang hilang pada 8 Mac.
"Ketika masuk minggu ketiga pencarian MH370, kami memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia komited sepenuhnya terhadap operasi pencarian dan tidak akan menghentikan operasi sehingga pesawat dijumpai," katanya dalam catatan terbaharu beliau di Facebook.
Najib turut melahirkan penghargaan kepada kerajaan Australia dan negara lain yang menyertai misi pencarian MH370.
"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk melahirkan penghargaan saya kepada kerajaan Australia dan negara lain atas usaha mengesan pesawat kami yang hilang," katanya.
Pesawat itu, yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dan membawa 239 penumpang serta anak kapal, hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam
Pada 24 Mac lepas, Najib mengumumkan bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". - Bernama
ULASAN GB
Terlalu banyak teori, terlalu banyak andaian... sedangkan MH370 masih belum ditemui.
Sekarang saintis dunia menyatakan tak mungkin dapat ditemui di Lautan Hindi. Yang diangkut barang-barang di Lautan Hindi yang dikesan dari satelit rupa-rupanya sampah yang terapung. Hishamuddin pula menyatakan PM tak pernah pun sebut pesawat itu "terhempas" di Lautan Hindi. Katanya, Najib cuma sebut "berakhir". Hishamuddin cuba bermain dengan kata-kata. Teori yang menyatakan pesawat berada di Diego Garcia juga telah ditolak oleh Hishamuddin, katanya tak berasas walaupun beliau sendiri menyatakan kita perlu menyiasat segala kemungkinan. Pelik.
GB baru terbaca teori dari seorang penganalisis (dilaporkan oleh BERNAMA) yang menyatakan pesawat telah mendarat dengan selamat.
Penganalisis percaya MH370 mendarat
Penganalisis jenayah percaya tiada unsur bunuh diri dalam misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 dan pesawat itu selamat mendarat di suatu kawasan yang tidak diketahui lokasinya.
Presiden Kesedaran Pencegahan Jenayah, Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya berkata berdasarkan fakta-fakta diumumkan setakat ini, sesiapa jua yang mengambil alih pesawat itu tidak berniat untuk membunuh diri.
Katanya ini kerana pihak yang bertanggungjawab nampaknya membuat perancangan teliti dan amat pakar tentang selok-belok penerbangan serta kedudukan radar termasuk cara untuk mengelakkan pesawat itu daripada dikesan.
Dr Saharuddin juga percaya sesiapa sahaja yang mengambil alih pesawat Boeing 777-200ER itu berpengalaman mengendalikan pesawat itu.
"Walaupun pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam situasi sebegini, namun saya jangkakan tiada unsur bunuh diri melibatkan juruterbang pesawat berkenaan," katanya kepada Bernama.
Pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 12.41 pagi 8 Mac lalu. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi hari yang sama.
Sehingga kini, nasib penumpang dan anak kapalnya tidak diketahui apabila usaha mencari yang melibatkan pelbagai negara, belum membuahkan hasil.
Ia telah didedahkan sebelum ini bahawa seseorang dengan sengaja mematikan sistem komunikasi dalam pesawat itu dan menurut data satelit Inmarsat, pesawat itu dikesan terbang beberapa jam selepas itu.
Pihak berkuasa Malaysia percaya pesawat itu terbang ke arah barat Semenanjung Malaysia sebelum membelok ke arah barat laut dan memasuki sama ada koridor utara yang menjangkau lebih kurang dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke bahagian utara Thailand; atau koridor selatan meliputi kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi.
Operasi mencari dan menyelamat terus dipergiatkan membabitkan 26 negara antaranya Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Turkmenistan, Pakistan, Bangladesh, India, Vietnam, Thailand, Singapura dan Indonesia.
Dr Saharuddin berkelulusan Doktor Falsafah Antropologi Sosial dari Universiti Antarabangsa Wisconsin di Amerika Syarikat, dan menaungi beberapa pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) selain menjadi tenaga pengajar di Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST), cawangan Kuala Lumpur, dalam bidang Antropologi sejak 2009.
Berkecimpung sebagai pejuang hak pengguna selama lima tahun, beliau yang kini berusia 52 tahun itu kerap ditemu bual media tempatan mengenai isu-isu melibatkan keselamatan dan kepenggunaan. -Bernama
Sebelum ini GB telah mencadangkan bahawa :
GB tetap berpegang kepada prinsip "jika sesat dihujung jalan baliklah ke pangkal jalan". Ertinya di dalam keadaan bercelaru di dalam menentukan dimana sebenarnya kedudukan MH370 hari ini, adalah perlu untuk memulakan pencarian di tempat dimana ia terputus hubungan dengan satelit iaitu di Laut Cina Selatan. Itu pangkalnya. Carilah sampai ke dasar lautnya. Mengapa terlalu cepat SAR memberhentikan operasinya di Laut Cina Selatan?
Mungkin telahan GB (bahawa MH370 terhempas di Laut Cina Selatan) salah, tetapi proses pengesanan MH370 MESTI bermula dari situ kerana di situ tempat ia mula-mula "hilang". Jika tidak peluang untuk mengesan pesawat berkenaan semakin tipis.
Terlampau banyak "wayang" yang kita nak tonton. Namun, apa pun yang terjadi, apa pun teori, apa pun konspirasi, GB amat yakin bahawa pengetahuan dan kekuasaan Allah tetap mengatasi segala-galanya. Marilah kita terus berdoa!
اللهم ارنا الحق حقا وارزقنا اتباعه وارنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه
1) Allahumma arinal haqqa, haqqan, warzuqnattiba’ah,
wa arinal bathila bathilan, warzuqnajtinabah
Ya Allah, tunjukkanlah yang haq itu sebagai haq, dan kurniakanlah kami kekuatan untuk mengikutinya (memperjuangkannya), dan tunjukkanlah yang batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya (menghapuskannya).
وقل رب أدخلني مدخل صدق وأخرجني مخرج صدق
واجعل لي من لدنك سلطانا نصيرا
وقل جاء الحق وزهق الباطل إن الباطل كان زهوقا
2) Rabbi adkhilni mudkhala sidqin wa akhrijni mukhraja sidqin waj'alli min ladunka sulthanan nasiiran
wa qul ja alhaqqu wa zahaqal bathil innal bathila kana zahuqan
Ya Allah, masukkanlah aku secara masuk yang benar dan keluarkanlah(pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang menolong. Dan katakanlah yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.