SHAH ALAM - "Mereka boleh percayakan saya," demikian menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mencabar dalam perebutan kerusi Timbalan Presiden PKR berdepan enam penjuru pesaing.
Abdul Khalid yakin dengan kualiti yang dimilikinya iaitu pendirian reformasi dengan integriti yang membezakan dirinya dengan pencabar lain.
"Kalau nak buat perubahan mesti dipercayai oleh masyarakat dalam perjuangan membawa perubahan.
"Sejak terajui Selangor pada 2008 kita sudah amalkan konsep reformasi dengan integriti dan ia terkandung dalam Manifesto PR, kecemerlangan yang dicapai menunjukkan kita sudah berjaya melaksanakan reformasi," katanya ketika sidang media selepas majlis perasmian u-Pustaka di Perpustakaan Raja Tun Uda.
Malah Abdul Khalid turut menjelaskan bahawa pertembungan enam penjuru dalam merebut jawatan Timbalan Presiden PKR itu sebagai perkara biasa.
"Ini membuktikan tiada sekatan untuk sesiapa bertanding tapi bezanya saya dengan calon lain ialah akar umbi boleh percayakan saya.
"Itu biasa dan ini bagusnya PKR beri ramai orang minat sertai jawatan dalam parti. Lagipun pengundian bakal dipilih oleh akar umbi bukannya perwakilan," katanya.
Posisi berkenaan turut direbut Tian Chua, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Azmin Ali, Datuk K. Rama Chandram dan Murali Subramaniam.
Jawatankuasa Pemilihan PKR menetapkan 25 April hingga 11 Mei depan sebagai tarikh pengundian pemilihan pucuk pimpinan parti dan akan dijalankan mengikut zon secara berperingkat dalam tempoh tiga minggu.
Keputusan undian dijangka diketahui selewat-lewatnya 5 petang sebaik proses pengundian tamat manakala barisan kepimpinan baharu akan diumumkan selewat-lewatnya 13 Mei.