Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu BakarZainul Rijal Abu Bakar


SHAH ALAM - Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) berpendapat, pendakwaan terhadap sasterawan dan pemikir, Dr Kasim Ahmad adalah sejajar dengan undang-undang yang berkuatkuasa.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, beban pembuktian untuk mensabitkan beliau bersalah atas kesalahan yang didakwa masih lagi terletak di bahu pendakwa syarie.

"Kasim diberi hak sepenuhnya untuk meminta perbicaraan di dalam mahkamah sekiranya beliau berpendirian  tidak bersalah atas dakwaan tersebut.

"PPMM percaya perbicaraan yang adil akan dijalankan di dalam prosiding terhadap beliau.

"Sehubungan itu, PPMM menasihatkan Kasim Ahmad menumpukan pembelaan beliau di dalam prosiding tersebut bukan meraih simpati melalui media," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Kassim dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya atas dua pertuduhan menghina agama Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama.

Kassim bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan membayar ikat jamin.

Mahkamah menetapkan 7 April depan untuk sebutan semula kes itu.

ARTIKEL BERKAITAN: [ Kassim Ahmad didakwa di mahkamah pagi ini]

Mengulas perkara sama, Zainul Rijal menambah, setiap kebebasan yang dianugerahkan di dalam Perlembagaan Persekutuan ataupun dalam Islam termasuk kebebasan bercakap bukanlah diberikan secara total tetapi ada had yang telah digariskan.

"Tiada kebebasan mutlak dalam mana-mana sistem perundangan di dunia ini.

"PPMM percaya pihak penguatkuasa agama telahpun menjalankan siasatan yang wajar sehingga Ketua Pendakwa Syarie membuat keputusan untuk mendakwa beliau kerana terdapat bukti-bukti yang mencukupi," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, ujar Zainul Rijal lagi, tindakan pendakwaan yang dilakukan Pendakwa Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan adalah dialu-alukan.

Ini kerana katanya, kemarahan masyarakat Islam arus perdana akan dapat diredakan dengan pendakwaan ini di samping tidak memberi ruang kepada 'perbicaraan melalui media'.

"Pendakwaan terhadap Kasim juga memberi isyarat kepada individu dan kumpulan lain yang acapkali menguji kesabaran umat Islam dengan pelbagai kritikan, tindakan dan perkataan yang menghina serta tidak menghormati agama Islam," katanya lagi.