Pakar undang-undang Prof Datuk Dr Shad Saleem Faruqi menegaskan pasukan polis tidak wajar menyertai serbuan khalwat bersama jabatan agama kerana tugas agensi tersebut adalah menjaga keselamatan negara.
Shad berkata khalwat tidak menggugat keselamatan negara dan pihak polis perlu memfokuskan tanggungjawab utama mereka.
"Polis sepatutnya tidak mencampuri tugas agensi lain, mengikut bersama dalam operasi jabatan agama tidak sewajarnya dilakukan," kata profesor undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) tersebut semasa menghadiri seminar Perdana Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Cheras hari ini.
Shad berkata, peranan polis bukan menjadi "polis moral" tetapi tertumpu kepada usaha menegakkan undang-undang di dalam negara.
"Polis tidak sepatutnya menjadi 'polis moral'," kata beliau.
Januari lalu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustafa berkata, Unit Polis Syarie akan dimuktamadkan selepas perbincangan mengenai skop tugas dan bidang kuasanya selesai tidak lama lagi.
Kenyataan tersebut disokong Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan penubuhan Unit Polis Syarie bertujuan membantu jabatan agama mengekang ajaran sesat.
Ahmad Zahid berkata, KDN akan mendapat persetujuan Jakim untuk menubuhkan unit itu, yang antara lain akan mempunyai anggota polis berkelulusan ijazah dan sarjana untuk ditempatkan di Jakim namun tarikh pelaksanaannya belum ditetapkan.
Usaha tersebut menerima kritikan banyak pihak, pakar perlembagaan menegaskan tersebut bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana Islam merupakan urusan negeri dan ia akan bertentangan dengan tugas polis.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan juga menolak cadangan tersebut, berkata penubuhan Unit Polis Syarie melalui kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jakim adalah cubaan untuk menambahkan beban kepada pasukan polis.
Bekas perdana menteri paling lama, Tun Dr Mahathir Mohamad juga turut menolak cadangan penubuhan unit itu kerana ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah umat Islam di Malaysia.
Bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu berkata, Islam juga tidak memaksa umatnya untuk melakukan sesuatu ibadah dan apa yang paling penting adalah kepercayaan dan keimanan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bagaimanapun menafikan laporan pihaknya akan menubuhkan Unit Polis Syarie yang menjadi kritikan banyak pihak.
Khalid berkata, laporan mengatakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menubuhkan unit tersebut adalah tidak benar dan disalah tafsir pihak tertentu.