Peniaga pasar tangkap pencuriHafiz menunjukkan tempat suspek diberkas sekumpulan peniaga Pasar Awam Maharani.


MUAR - Misteri kecurian barang dalam kenderaan yang diletakkan di pasar awam, di sini, terjawab apabila seorang lelaki berjaya ditangkap sekumpulan peniaga, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, seorang lelaki berusia 30an diberkas  ketika dalam kereta milik seorang pengunjung pasar berkenaan.

Peniaga buah-buahan, Hafiz Daud, 21, memberitahu, dia menyedari kejadian itu selepas mendengar kekecohan di ruang parkir berdekatan tempat menunggu bas.

“Ketika itu, saya sibuk melayan pelanggan sebelum terlihat kira-kira 10 peniaga sedang mengerumuni sebuah kereta dan memarahi seseorang.

“Selepas pelanggan beredar, saya ke tempat itu untuk mengetahui perkara sebenar dan mendapati seorang lelaki duduk di bahagian pemandu kereta Proton Gen 2,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, ada pergelutan berlaku apabila suspek bertindak agresif cuba melarikan diri sebaik disergah peniaga ketika sedang leka menyelongkar papan pemuka kereta berkenaan.

Hafiz berkata, peniaga pasar awam sudah lama merancang menangkap suspek sejak tiga bulan lalu, memandangkan sudah beberapa kali berlaku kecurian barang dalam kenderaan dan barang basah yang ditinggalkan  dalam raga motosikal.

“Tak sangka hari ini (semalam) dapat tangkap suspek selepas mangsa melihat kelibat seorang lelaki meninjau dan menghampiri keretanya dalam keadaan mencurigakan.

“Mangsa mengekori lelaki itu, tetapi suspek berpura-pura membuat panggilan telefon untuk mengalihkan perhatian apabila menyedari gerak-gerinya diperhatikan, sehingga dia diberkas berada dalam kereta,” katanya.

Dia berkata, seorang peniaga segera menghubungi polis yang tiba tidak lama kemudian.

Jelasnya, polis  turut menjumpai banyak kunci kereta pelbagai jenis dan dompet dalam poket seluar suspek sebelum dibawa ke balai.

“Sebelum ini, banyak pelanggan merungut apabila radio, cermin mata gelap, syiling dan alat sistem geografi global (GPS) dalam kereta mereka hilang setiap kali berkunjung ke pasar ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob mengesahkan menerima laporan kejadian dan suspek direman untuk siasatan.