Tajul Urus Mat Zain


ALOR SETAR - Tindakan seorang exco membida plat pendaftaran kenderaan mencecah puluhan ribuan ringgit bukan perkara luar biasa jika berkemampuan untuk berbuat demikian.

Satu sumber memberitahu Sinar Harian, sesiapa sahaja berhak untuk membida nombor plat kenderaan jika menggunakan duit sendiri termasuk pemimpin kerajaan atau individu biasa.

Menurutnya, Datuk Tajul Urus Mat Zain pernah menggunakan plat dengan nombor pendaftaran dua digit pada salah sebuah kenderaan mewah yang dimilikinya sebelum menjadi exco.

Justeru tidak timbul masalah jika beliau ingin berbuat demikian kerana mempunyai lebihan sumber pendapatan lain tidak hanya bergantung kepada elaun sebagai exco atau wakil rakyat semata-mata.

"Salah ke kita sebagai orang biasa mahu membida plat kenderaan yang kita minat? Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga membuka peluang luas kepada sesiapa sahaja yang mampu untuk membida dengan harga lebih tinggi.

"Lagi pun tidak ada masalah, sewaktu membida hanya perlu bayar deposit dan jika ada orang mahu beli dengan harga lebih tinggi kita boleh jual semula plat itu," katanya kepada Sinar Harian, di sini, hari ini.

Sebelum ini, laman sosial terutama blog tersebar nama Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya itu yang dikaitkan dengan pembelian nombor plat KDT 9 berharga RM26,600.

Melalui laman blog http://omakkau.blogspot.com bertarikh 13 Mac lalu memuatkan senarai nama pembeli nombor plat termasuk Tajul Urus.

Sumber itu menambah, plat kenderaan yang mempunyai nombor satu atau dua digit mempunyai nilai tersendiri.

"Selain nampak mahal, ia juga mempunyai nilai komersial yang cukup tinggi," katanya.

Sementara itu, Tajul Urus ketika dihubungi enggan memberi sebarang komen mengenai isu itu.