Persatuan itu begitu elit sehingga tak boleh ditegur.
KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM),Tan Sri Annuar Musa hari ini mengkritik FAM secara terbuka di persidangan parlimen hari ini.
Katanya, badan induk bolasepak dalam negara ini agak unik.
“Cara pengurusan bolasepak itu dilihat sebagai satu persatuan begitu elit sehingga tak boleh ditegur,” katanya ketika berucap di Dewan Rakyat.
Beliau yang juga ahli parlimen Ketereh menambah sedangkan perjalanan bolasepak dimiliki oleh orang ramai.
“Tetapi dalam FAM, berdasarkan pengalaman saya sendiri, tadbir urusnya tidak terbuka,” tegasnya..
“Tidak boleh ditegur. Saya hanya kerana jawab pertanyaan media, digantung.
“Saya nak tanya apa peranan kerajaan; dalam mesyuarat tahunan (Kongres FAM), cukup tahun tak bermesyuarat.
“Dalam statut perlu ada jawatankuasa pasukan bolasepak kebangsaan. Tapi tak dibentuk, tak bermesyuarat,” kata Annuar.
Annuar bertanya d imanakah letaknya peranan kementerian dalam soal begini sedangkan semua persatuan sukan dalam negara tertakhluk di bawah pentadbiran dan pengurusan pesuruhjaya sukan.
“Pelan induk bolasepak negara mestilah untuk jangka panjang dan jangan ubah-ubah ikut selera negeri,” katanya.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, M Saravanan berkata beliau tidak boleh membuat keputusan sendiri di dalam parlimen tetapi akan bawa segala pandangan dan cadangan Annuar ke pihak atasan kementerian.
Terlebih dahulu Ahli Parlimen Simpang Renggam, Liang Teck Meng (Gerakan) bertanya kepada Saravanan kenapa prestasi FAM tak setimpal dengan nilai tajaan lebih kurang RM70 juta setahun.
Liang bertanya apakah peranan kerajaan dan apakah akan ada rombakan menyeluruh dalam FAM, terutamanya generasi baru mahukan nafas baru dalam FAM.
Saravanan menjelaskan kerajaan tidak boleh campur tangan dalam pemilihan persatuan sukan.
Walaubagaimanapun Saravanan berkata beliau difahamkan akan ada pertandingan untuk jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden pada pemilihan FAM tahun ini.