Image may be NSFW.
Clik here to view.
Mahfuz Omar
Mahfuz Omar


ALOR SETAR - Kerajaan perlu berhati-hati ketika menerima bantuan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH 370 yang masih hilang.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, bantuan negara luar melalui ejen perisik termasuk Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) untuk membantu dalam operasi itu  perlu  ditapis bagi mengelakkan rahsia negara terdedah.

"Ini sangat berbahaya kepada campur tangan orang asing terutama dalam isu simulator kapten pesawat (Zaharie Ahmad Shah). Ia juga memberi tanggapan kurang baik terhadap negara kita sebagai sebuah negara Islam yang seringkali kaitkan dengan keganasan oleh Barat.

"Saya minta kerajaan lebih berhati-hati dengan campur tangan negara asing yang berkemungkinan untuk 'mencaturkan' politik dalam negara kita," katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Adun Kubang Rotan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein meminta pakar tempatan dan antarabangsa  membantu menyiasat simulator penerbangan itu.

Menurutnya, walaupun sebahagian data dipadamkan dari simulator itu, namun kerja forensik sedang dijalankan untuk cuba mendapatkannya kembali.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut meminta rakyat terus berdoa supaya misteri kehilangan pesawat sejak 8 Mac lalu dapat dirungkai segera.