SHAH ALAM - Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini mendedahkan bahawa perkembangan terbaru mengenai penglibatan orang Melayu dalam bidang ekonomi dan korporat cukup membimbangkan.
Jelas Ku Li, yang juga merupakan Ahli Parlimen Gua Musang , melalui hasil dapatan kajiannya mendapati beberapa petanda konkrit telah menunjukan penurunan penglibatan orang Melayu di sektor berkenaan.
“Izinkan saya untuk merekodkan beberapa perkara yang saya fikir cukup mencemaskan kita.
“…hari ini, bilangan “key-personnel” dari kalangan orang Melayu di sektor korporat menurun dengan sangat signifikan, syarikat dan industri yang diasaskan oleh Felda sudah berkembang luas dan jumlah dagangan mereka adalah besar sekali. Namun, mendukacitakan apabila syarikat ini belum lagi dapat diterajui oleh orang Melayu/Bumiputera.
“…sementara itu, industri produk halal yang besar juga difahamkan dikawal oleh orang bukan Melayu/Bumiputera, dan sangat mendukacitakan apabila pemilik asal beberapa syarikat orang Melayu yang sudah berjaya seperti (produk Orang Kampung dan Aminah Hassan) akhirnya menjadi pekerja kepada pemilik syarikat yang baru,” katanya yang dipetik menerusi kenyataan medianya hari ini.
Mengulas lanjut, Ku li menegaskan, perkembangan ini sama sekali tidak ada kaitan dengan isu perkauman atau pun hak orang Melayu yang dinafikan, tetapi lebih merupakan masalah orang Melayu yang tidak mampu bertahan dalam saingan dan kesulitan alam perniagaan yang semakin kompleks.
“ oleh itu atas dasar dan perkembangan sebeginilah, saya merasakan wajar untuk diperjuangkan agar masyarakat Melayu Malaysia lebih berdisiplin, dilatih dan diberikan ilmu pengetahuan dan pendedahan yang membolehkan kita bertahan dan bersaing dengan siapa pun dan dalam keadaan apa pun.
“…dan dengan berbagai-bagai peluang dan kemudahan serta bantuan, masyarakat orang Melayu dan Bumiputera tidak boleh menyalahkan orang lain kalau mereka masih tidak berjaya.
Kita mungkin tidak mempunyai terlalu banyak masa lagi, kerana persaingan dalam era ini tidak mengenal batas geografi dan sentimen, oleh itu marilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mempertingkatkan tahap ekonomi kita,” tegasnya.