SEBANYAK 31 peratus syarikat tempatan yang dikategorikan sebagai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini tidak mendaftarkan perniagaan mereka, menurut SME Corporation Malaysia (SME Corp).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hafsah Hashim berkata, pendaftaran perniagaan PKS amat penting dan sektor itu dijangka mampu menyumbang sehingga 41 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.
“Saya mahu syarikat-syarikat tempatan yang masih tidak berdaftar untuk berbuat demikian supaya kami dapat membantu mereka lebih berdaya saing, seterusnya menembusi pasaran global selain ke arah mewujudkan negara berpendapatan tinggi.
“Kami berhasrat supaya jumlah 31 peratus perusahaan tidak berdaftar itu dapat dikurangkan kepada 15 peratus menjelang 2020,” katanya ketika berucap pada taklimat Merintis Transformasi Perniagaan di Kuala Lumpur, kelmarin.
Katanya, SME Corp turut menyasarkan peningkatan sumbangan PKS dalam nilai eksport negara kepada 25 peratus menjelang 2020 berbanding 19 peratus yang diperoleh pada 2011.
Sehingga kini, terdapat 662,939 syarikat PKS di negara ini dalam pelbagai sektor termasuk perkhidmatan, pemborongan dan peruncitan serta pembuatan.
Sementara itu, SME Corp masih dalam proses perbincangan untuk memperkenalkan sistem perlepasan automatik bagi memberi peluang kepada syarikat yang dikategorikan sebagai bankrap memulakan semula perniagaan di negara ini.
“Ia masih dalam perbincangan kerana banyak aspek perlu diteliti seperti perundangan," kata Hafsah.