THE MALAYSIAN INSIDER
Polis China terpaksa campur tangan hari ini apabila keluarga penumpang MH370 menyerbu pegawai Malaysia di hotel Beijing ketika menuntut jawapan mengenai nasib keluarga mereka yang menaiki pesawat malang itu.
Ia berlaku di Hotel Lido, Beijing, ketika pencarian antarabangsa untuk pesawat Boeing itu masuk minggu ketiga.
Keluarga penumpang yang terlibat masih berharap mereka masih hidup dan mendakwa Malaysia sedang menyembunyikan sesuatu mengenai kes itu.
Seramai 153 warganegara China berada dalam pesawat Malaysia Airlines yang hilang selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju ke Beijing, 8 Mac lalu.
Pesawat itu membawa 239 penumpang dan anak kapal.
"Kerajaan Malaysia, beritahu kami apa yang sebenarnya! Kembalikan orang yang kami sayang!" jerit mereka ke arah pegawai Malaysia yang menyertai sesi penerangan itu.
Hotel itu menganjurkan penerangan harian oleh wakil syarikat penerbangan itu untuk keluarga penumpang.
"Kerajaan Malaysia menipu kami. Mereka tidak berani untuk berdepan dengan kami. Kerajaan Malaysia adalah pembunuh terbesar," kata saudara penumpang yang menjerit, walaupun tidak ada bukti menunjukkan ia adalah konspirasi kerajaan.
Ketika kemarahan di dalam dewan memuncak, beberapa saudara bergegas ke arah pegawai Malaysia tetapi polis campur tangan dan pegawai meninggalkan bilik itu.
"Kami tidak boleh tahan lagi," kata seorang wanita.
"Mereka menawarkan kami pampasan, tetapi kami kehilangan seluruh keluarga. Ini adalah China. Mereka tidak boleh memberitahu kita untuk datang atau pergi sesuka hati. Kita akan tunggu di sini.
Jika mereka tidak datang, kami tidak meninggalkannya,” katanya.
Lebih 25 buah negara terlibat dalam pencarian pesawat yang hilang tetapi kekurangan jawapan tegas daripada para pegawai syarikat penerbangan melemahkan keyakinan keluarga penumpang dalam pencarian pesawat itu.
Semalam, mesyuarat pertama diadakan antara keluarga penumpang dan kumpulan pegawai kerajaan Malaysia.
Mesyuarat itu juga menghasilkan pertengkaran yang panas, ejekan dan letusan kemarahan.
Enam kapal terbang, termasuk empat pesawat anti-kapal selam Orion yang penuh dengan peralatan pengawasan, menyertai pencarian terhadap serpihan pesawat MH370 di kawasan terpencil Lautan Hindi, 2,500 km barat daya Perth hari ini.
Kapal tentera laut China, British dan Australia mencari di kawasan yang sama di mana dua objek terapung, mungkin bangkai pesawat dirakamkan daripada gambar kasar satelit. - AFP