Pihak berkuasa mengenal pasti dua objek menerusi imej satelit kira-kira 2,500 kilometer dari luar pantai Barat Australia, tetapi cuaca buruk menyukarkan operasi mencari menggunakan pesawat orion milik Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) pada Khamis.
Pihak Berkuasa Maritim Australia (AMSA) yang mengetuai operasi pencarian berkata, lima pesawat digunakan untuk meninjau kawasan tersebut pada Jumaat manakala sebuah kapal dagang sudah berada di lokasi manakala sebuah lagi akan tiba malam ini.
Menurut AMSA, dua objek yang dirakam menerusi imej satelit itu dianggap sebagai 'petunjuk kukuh' tetapi tetap waspada ia mungkin tiada kaitan dengan pesawat MH370.
Bercakap ketika lawatan rasmi ke Papua New Guinea pada Jumaat, Abbott berkata, beliau bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada keluarga penumpang setiap perkembangan berhubung pencarian pesawat itu.
"Kali ini, ia mungkin hanya sebuah kontena yang jatuh dari kapal kargo, kita tidak tahu.
"Namun, kami bertanggungjawab untuk memaklumkan mengenai apa saja maklumat terbaharu kepada keluarga dan orang tersayang penumpang pesawat MH370. Kami akan cuba melakukan apa saja dalam merungkai misteri ini," katanya.