Diego GarciaDiego Garcia


SHAH ALAM - Diego Garcia, pulau terpencil di selatan Lautan Hindi yang menempatkan  pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) bukanlah kawasan rahsia sehingga dianggap terlalu bahaya untuk mana-mana pihak pergi ke sana.

Bekas Ketua Juruterbang Serantau MAS, Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata, beberapa tahun lalu pihaknya pernah mengatur penerbangan ke Diego Garcia untuk membawa anggota tentera AS pulang ke negara mereka.

“Saya  mengaturkan pesawat Boeing 747 antara tiga ke empat penerbangan untuk tentera AS. Kita berlepas dari Kuala Lumpur ke Diego Garcia kemudian bawa mereka pulang ke AS.

“Jadi, Diego Garcia bukan kawasan rahsia. MAS dah pergi ke sana dan tiada apa-apa yang berlaku,” katanya menerusi program soal jawab sebuah stesen televisyen, semalam.

Nik Huzlan berkata demikian bagi menjawab soalan mengenai simulator milik Kapten Zaharie Ahmad Shah yang mengkaji pendaratan pesawat di pulau itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sudah menjadi hobi sesetengah juruterbang bermain dengan simulator untuk mendarat di kawasan yang jarang dilewati.

“Mereka akan pilih tempat yang pelik-pelik. Kenapa Diego Garcia yang dipersoalkan. Banyak lagi landasan lain yang dianggap rahsia yang boleh dipersoalkan.

“Contohnya di McMurdo, iaitu landasan panjang (berais) di Antartika, atau di Edward Air Force yang memiliki landasan sejauh 11 kilometer. Kalau nak pergi betul-betul dengan Boeing 777 sukar, jadi juruterbang akan bermain dengan simulator, ini
'philosophy' biasa seorang juruterbang,” katanya.

Menurutnya, dahulu Lapangan Terbang Kai Tak di Hong Kong antara landasan kegemaran juruterbang kerana laluannya yang mencabar.

Terdahulu, akhbar melaporkan terdapat lima landasan rahsia yang dimuatkan dalam simulator milik Zaharie antaranya Lapangan Terbang Antarabangsa Male di Maldives, lapangan terbang milik Amerika Syarikat (Diego Garcia) serta tiga lagi landasan di India dan Sri Lanka.