Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim (tengah) ketika menyerahkan sejadah kepada Setiausaha Sekretariat Selawat Perdana 1435H/2014M, Shahrul Nasrun Kamarudin (kanan) dan Ketua Penerangan Majlis Gabungan NGO Melayu Negeri Johor, Abdullah Md Yusof pada majlis penyerahan sumbangan bagi penganjuran Selawat Perdana 1435H/2014M di Bangunan Tabung Haji di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan sumbangan berjumlah RM100,000 berupa sejadah bagi penganjuran Majlis Selawat Perdana 'Malam Cinta Allah dan Rasul' yang menyasarkan lebih 500,000 pengunjung pada pukul 8 malam esok di Dataran Masjid Putra, Presint 1, Putrajaya.
Sumbangan diserahkan Pengerusi TH Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim kepada Setiausaha Sekretariat Selawat Perdana, Shahrul Nasrun Kamarudin di sini.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Abdul Azeez berkata 100,000 sejadah akan diberikan kepada setiap mereka yang datang awal bagi memeriahkan suasana majlis.
"Saya difahamkan program akan bermula seawal jam 5 petang dan di kesempatan ini, saya turut menjemput keluarga, sahabat taulan kepada mangsa-mangsa pesawat MH370 yang menjadi misteri sehingga hari ini untuk turut serta bersama mengerjakan solat hajat yang turut diadakan nanti," katanya.
Majlis yang bertemakan Kesatuan, Perpaduan dan Persaudaraan itu akan menampilkan ikon agama dan pendakwah terkenal seperti Habib Syech Abdul Qodir As Seggaf serta Habib Ali Zaenal Abidin dari Indonesia.
Pelbagai aturcara seperti solat Maghrib dan Isyak berjemaah, zikir terapi, bacaan al-Quran daripada finalis rancangan Imam Muda, tazkirah duet peserta Pencetus Ummah serta majlis ilmu bersama pendakwah terkenal. - Bernama