Pihak polis bersama-sama pakar ketika ini sedang mencari jalan untuk mendapatkan data yang dipadam daripada simulator penerbangan Kapten Zaharie Ahmad Shah, kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Pemangku menteri pengangkutan itu berkata, pakar tempatan dan antarabangsa sedang meneliti simulator milik juruterbang tersebut.
"Beberapa data dipadam daripada simulator dan pasukan forensik cuba mendapatkan semula data tersebut," kata Hishammuddin pada sidang media di Hotel Sama-Sama, Sepang hari ini.
Dalam sidang media sama, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberitahu media, data tersebut dipadamkan pada 3 Februari.
"Pasukan forensik kami daripada unit jenayah siber, MAS dan pakar antarabangsa cuba mendapatkan semula maklumat tersebut," kata Khalid.
Daripada siasatan simulator tersebut, Khalid berkata pihaknya menemui tiga jenis permainan masih berada dalam simulator tersebut.
"Kita mendapati tiga permainan simulator penerbangan.
"Pertama Flight Simulator X, kedua Flight Simulator 9 dan ketiga X Flight N," kata Khalid.
Khalid juga berkata sepanjang siasatan dijalankan, pihak polis mendapat kerjasama yang baik daripada ahli keluarga kedua-dua juruterbang dan pembantunya.
Sabtu lalu, pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas simulator penerbangan Kapten Zaharie Ahmad Shah di rumahnya di Shah Alam.
Ia kemudian dipasang semula semalam di ibu pejabat Bukit Aman bagi mencari petunjuk kehilangan MH370 yang masih misteri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada sidang media khasnya petang Sabtu lalu berkata, siasatan kini beralih dan tertumpu kepada anak kapal pesawat berdasarkan kepada petunjuk baru.
Menafikan terdapat unsur rampasan, Najib berkata, pesawat MH370 berpatah balik ke arah barat selaras dengan tindakan yang disengajakan oleh seseorang dalam kapal terbang itu.
Usaha mencari dan menyelamat MH370 kini masuk fasa kedua melibatkan koridor utara meliputi sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga ke utara Thailand manakala koridor selatan, dari Indonesia hingga selatan Lautan Hindi.
MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal hilang daripada radar selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang dalam perjalanan ke Beijing.