Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

TLDM gerakkan KD Kasturi, KD Lekiu ke koridor selatan

$
0
0
HARAKAHDAILY 


LUMUT: Kapal Diraja (KD) Kasturi dan KD Lekiu milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memulakan pelayaran ke koridor selatan malam ini untuk menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines MH370.
  
Panglima Armada Laksamana Madya Datuk Abdul Hadi A. Rashid berkata dua kapal itu merupakan kumpulan ketiga aset TLDM bagi misi antarabangsa selepas KD Selangor, KD Kelantan, KD Terengganu dan KD Pahang.

"Kita akan menjalankan misi SAR di koridor selatan dan selatan Christmas Island. Kita akan menumpukan di titik-titik yang telah kita tentukan aset-aset kita akan melaksanakan tanggungjawab itu dengan merangkumi pelayaran sehingga 1,800 batu nautika," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan KD Kasturi dan KD Lekiu di Jeti Operasi, pangkalan TLDM di sini.

Kesemua aset TLDM akan bertemu dan bergabung dengan aset-aset negara lain yang menyertai misi itu bagi tujuan yang sama dengan pembahagian kawasan bagi rondaan SAR secara bersama, katanya.

Beliau berkata tumpuan kesemua kapal TLDM dengan kekuatan 560 warganya adalah pencarian di permukaan lautan koridor selatan yang meliputi Lautan Hindi dan bergabung dengan aset udara.

"Apabila dua aset udara Super Lynx dan satu Fennec kita membuat rondaan pencarian, aset kapal akan sentiasa berhubung dengan mereka memandangkan aset udara boleh meliputi kawasan yang lebih luas dan lebih jauh dalam tempoh singkat. Kelengkapan radar dan komunikasi yang baik serta pengesan bawah air atau sonar juga akan membantu kita," katanya.

Abdul Hadi berkata kumpulan pertama kapal TLDM akan tiba di Tanjung Periuk, Indonesia, esok untuk penambahan bekalan logistik termasuk bahan api supaya ia dapat meneruskan misi dalam tempoh lebih panjang tanpa ulang bekal yang akan mengakibatkan tempoh masa SAR menjadi pendek. TLDM bersedia untuk menggerakkan asetnya yang lain jika diperlukan.

"Cabaran yang kita akan hadapi di koridor selatan adalah cuaca serta beroperasi di laut yang lebih luas. Selain itu Lautan Hindi juga mempunyai kedalaman sehingga 7,000 meter, ini cabaran kita walaupun tumpuan adalah pencarian di permukaan," katanya.

Beliau berkata koridor selatan juga bukan merupakan laluan kapal dagang yang popular dan strategik, oleh yang demikian perkongsian gabungan maklumat akan lebih terhad berbanding misi di Selat Melaka dan Laut China Selatan sebelum ini, katanya.

Abdul Hadi berharap seluruh warga TLDM yang menjalankan tanggungjawab negara dengan penuh komitmen itu dapat bertahan dan mengekalkan tahap operasi yang tinggi dengan pencarian maksimum.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 8 Mac lepas.

Operasi mencari pesawat itu kini diperluaskan dan dibahagikan kepada dua koridor iaitu Koridor Utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan Koridor Selatan meliputi kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi, melibatkan 26 negara. - Bernama

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722