PUTRAJAYA - Sikap cuai rakyat Malaysia antara penyebab kepada peningkatan ketara kes kehilangan kad pengenalan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Katanya akhir-akhir ini apabila Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memudahkan pelanggan dengan menyampaikan perkhidmatan yang cepat dan senang, pemegang kad pengenalan atau MyKad makin bersikap cuai.
"Pada tahun lepas, sejumlah 681,356 kad pengenalan telah dilaporkan hilang dan pada tahun ini sehingga Februari sahaja, sejumlah 71,639 kad pengenalan dilaporkan hilang," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JPN bagi tahun 2013, di sini semalam.
Menurut beliau kehilangan kad pengenalan dilihat telah meningkat - pada 2010 sejumlah 397,079, 2011 (413,068), dan 2012 (429,137).
"Sikap cuai dan tidak kisah bukan sahaja mengancamkan keselamatan individu dan negara jika dokumen pengenalan diri tersebut disalahgunakan, tetapi juga telah melibatkan perbelanjaan kos yang amat tinggi bagi kerajaan untuk membiayai pengeluaran kad ganti," katanya. - Bernama