Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Sempadan baharu pilihan raya

$
0
0

Oleh Saifuddin Abdullah 


SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan bermulanya proses membuat persempadanan semula kawasan pilihan raya Malaysia tidak lama lagi.

Persempadanan semula perlu dilakukan, secepat-cepatnya, lapan tahun selepas proses yang terdahulu. Proses ini mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.

Persempadanan semula adalah proses sangat penting dalam memastikan kita mempunyai sistem pilihan raya bersih dan adil. Proses ini, yang digerakkan SPR, dan perlukan kelulusan Parlimen, turut menyediakan ruang untuk partisipasi rakyat.

Hari ini, terdapat dua perkembangan penting. Pertama, keyakinan rakyat terhadap SPR semakin merosot. Menurut kajian Merdeka Center, pada 2008, 77 peratus rakyat berpuas hati dengan kerja-kerja SPR. Pada 2012, 51 peratus sahaja, iaitu merosot 26 peratus.

Dari segi penyelewengan dalam pilihan raya pula, pada 2004, 14 peratus rakyat menganggap penyelewengan berlaku. Pada 2008, ia meningkat kepada 36 peratus. Pada 2012, ia meningkat kepada 49 peratus.

Manakala perkembangan kedua ialah, rakyat semakin ingin berpartisipasi dalam proses membuat persempadanan semula ini. Maknanya, rakyat tidak akan membiarkan SPR sahaja, atau SPR dan parti-parti politik sahaja, berperanan dalam proses tersebut.

Partisipasi rakyat yang meningkat ini adalah selaras dengan Realiti Baru yang sedang berlaku. Realiti Baru ditandai oleh kemajuan ICT/media sosial, kemunculan kesedaran/gerakan baru sosial, kemajuan fasa ketiga demokrasi (contohnya “demokrasi partisipatori” dan “demokrasi deliberatif”), rakyat semakin berpendidikan, peningkatan urbanisasi dan kuatnya kelas menengah.

Realiti Baru mewujudkan “golongan pertengahan” yang semakin partisipatif, iaitu orang muda/mahasiswa, pensyarah/guru, kaki tangan kerajaan/swasta, profesional, teknokrat, usahawan dan masyarakat sivil. Mereka punya kesedaran, kefahaman, persepsi, pendapat, pendirian dan pemikiran politik yang tersendiri, baharu dan berbeza dengan mereka yang masih dalam Realiti Lama.

Antara tanda meningkatnya partisipasi rakyat ialah kewujudan gerakan-gerakan baharu, seperti Bersih, yang menyebabkan tertubuhnya Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya sebelum PRU13 yang lalu.

Mutakhir, pada 15-16 Februari lalu, Majlis Peguam Malaysia dan Tindak Malaysia menganjurkan “Forum Ke Arah Sistem Pilihan Raya Lebih Adil” di Petaling Jaya. Temanya ialah persempadanan semula. Matlamatnya ialah menghakupayakan rakyat untuk terlibat aktif dalam proses itu.

Mereka yang berucap di forum itu ialah Christopher Leong, Presiden Majlis Peguam; Dr Lisa Handley, Presiden Frontier International Consultant; Dr Bridget Welsh, Profesor Madya Universiti Pengurusan Singapura; Ibrahim Suffian, Pengasas Bersama Merdeka Center; Thomas Fann, Pengerusi Engage; Ng Chak Ngoon dan PY Wong, Pengasas Bersama Tindak Malaysia; Syahredzan Johan, Pengasas Bersama Projek Beres; Dr Shaharuddin Badarudin, Pengarah Akademi Pendidikan Demokrasi dan Kewarganegaraan; dan saya.

Dua resolusi utama forum ini ialah, pertamanya, mahu SPR mengadakan perundingan dengan semua pemegang taruh sebelum mengumumkan bermulanya proses persempadanan-semula; dan keduanya, mendidik rakyat supaya semasa proses itu sedang berjalan (yang terdapat masa selama 30 hari untuk rakyat membuat bantahan atas lakaran persempadanan baru yang disediakan oleh SPR), akan ada sekurang-kurangnya 100 orang pengundi bagi setiap kawasan (selaras dengan peraturannya) yang akan membuat bantahan.

Tindak Malaysia telah pun menyiapkan lakaran peta persempadanan semulanya. Bersih-Engage sedang giat menyiapkannya. Beberapa organisasi akademik dan masyarakat sivil lain turut membantu.

Semuanya atas prinsip-prinsip tertentu, khususnya menangani dua masalah utama, iaitu “salah pembahagian” (malapportionment) dan “gerimander” (gerrymandering).

Manakala pendidikan tentang partisipasi rakyat dalam proses ini telah juga bermula.

Semoga persempadan semula kawasan pilihan raya kali ini akan menjadi jauh lebih baik daripada yang sudah-sudah.

* Saifuddin Abdullah ialah Ketua Pegawai Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM).

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722