SEPANG: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin pada Selasa mengecam tindakan pihak tertentu yang cuba memburuk-burukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sejak 8 Mac.
Khairy berkata tindakan pihak tertentu yang cuba memutarbelitkan fakta kononnya kerajaan BN mengaitkan fahaman politik juruterbang pesawat itu dengan kehilangan pesawat berkenaan, amat dikesali.
Di laman Facebook beliau, Khairy turut merujuk kepada laporan agensi berita asing dan berkata ia memberi gambaran seolah-olah kerajaan BN cuba mengaitkan juruterbang pesawat itu dengan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata BN tidak pernah mengaitkan secara politik Kapten Zaharie Ahmad Shah dengan Parti Keadilan Rakyat walaupun sebelum ini ada pendedahan dibuat bahawa juruterbang itu menyokong parti berkenaan.
Dalam entri itu, Khairy turut memuat naik gambar muka hadapan sebuah akhbar luar negara serta pautan kepada agensi berita asing itu yang membuat semua dakwaan politik berkenaan.
"Tak kiralah politik beliau, BN menghormati perasaan keluarga Kapten Zaharie. Kita tak pernah kaitkan apa-apa motif politik pada beliau.
"Yang mengambil kesempatan berpolitik sekarang bukannya BN, tetapi Anwar yang sentiasa cuba menjadi mangsa.
"Cukuplah, Anwar. Tak perlulah putar belit dan fitnah. Kamu sebenarnya yang tidak menghormati Kapten Zaharie dengan putar belit yang cukup tidak bertanggungjawab ini," katanya.
Pesawat Boeing 777-200ER ke Beijing, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi 8 Mac. Ia dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
Sehingga kini, nasib penumpang dan anak kapalnya tidak diketahui apabila usaha mencari, yang melibatkan pelbagai negara, belum membuahkan hasil.