KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen PKR Bayan Baru, Sim Tze Zim mempersoalkan lawatan kerajaan Terengganu ke Antartika kononnya berhubung kajian perubahan iklim, apabila delegasi itu kebanyakannya disertai ahli politik dan bukannya penyelidik.
Beliau merujuk jawapan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi di Parlimen hari ini yang menyenaraikan peserta delegasi tersebut.
Peserta termasuklah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said; Datuk Rosli Mohamed (Ketua Setiausaha Kementerian Sains dan Inovasi), Ganeson Sivagurunathan (Duta Besar Malaysia ke Chile) dan Azman Ghani (Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar Terengganu).
Manakala, hanya tiga nama dalam senarai itu dari bidang akademik; Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor (Pengerusi Program Penyelidikan Antartika Malaysia – MARP), Datuk Dr Azizan Abu Samah (Pengarah Pusat Penyelidikan MARP) dan Datuk Dr Aziz Deraman (Pensyarah Universiti Malaysia Terengganu).
“Delegasi berprofil tinggi ini kebanyakan terdiri daripada ahli politik, setiausaha politik dan duta besar. Maka kita nak tanya, ini lawatan untuk melancong atau menyelidik?
“Mengapa Menteri Besar yang ketuai delegasi? Beliau tiada apa-apa urusan pun di sana,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.
Jika kerajaan benar-benar serius dalam penyelidikan itu, katanya lagi, kerajaan sepatutnya memberikan wang yang dibazirkan bagi perjalanan ke sana terus kepada MARP.
Menurut jawapan parlimen itu lagi, kerajaan membelanjakan RM209,873.72 untuk ekspedisi itu.
Kerajaan turut menyatakan “komited untuk meneruskan program penyelidikan di Antartika demi kepentingan saintifik dan strategik untuk Malaysia”.
Mengulas kenyataan itu, beliau bimbang ia akan menjadi satu lagi projek gajah putih negara.
“Ia memerlukan geran penyelidikan yang besar. Dengan kemasukan Malaysia dengan dana yang kecil, kita tidak akan ke mana. Akhirnya menjadi gajah putih,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen PAS Kuala Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah mendesak kerajaan menjelaskan kebaikan ekspedisi itu kepada negara, khususnya rakyat di Terengganu.
“Apa justifikasi sebelum dan selepas penyelidikan itu? Apa hasil yang dapat diaplikasikan di Terengganu?” katanya.
Walau pun belum berlaku bencana, katanya,Terengganu berisiko tinggi terutama selepas kerajaan menambak sebahagian kawasan Sungai Terengganu tanpa membuat kajian Alam sekitar, terutama daripada Jabatan Pengairan dan Saliran. – Roketkini.com