Beberapa jam selepas Malaysia mengisytiharkan pesawat MH370 hilang semalam, polis menyerbu rumah juruterbang Boeing 777-200ER yang sudah menjadi "misteri penerbangan belum pernah berlaku sebelum ini" sejak hilang lapan hari lalu dengan 239 penumpang.
Siasatan jenayah dilakukan sebaik sahaja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata misi pencarian pesawat hilang itu sekarang akan meliputi sejauh utara Kazakhstan dan selatan Lautan Hindi.
Tidak mengesahkan pesawat dirampas, Najib semalam berkata, aktiviti luar biasa MH370 itu “adalah hasil tindakan secara sengaja oleh seseorang yang berada di dalam pesawat berkenaan.”
Media barat memetik pegawai perisikan Amerika Syarikat mengatakan pesawat diterbangkan oleh pakar selepas hilang daripada skrin radar pada awal pagi 8 Mac, 2014 ketika dalam perjalanan ke Beijing.
Ini menyebabkan penyiasatan dilakukan terhadap semua 239 penumpang dan anak kapal MH370 dengan harapan akan bertemu dengan fakta yang dapat membantu misi pencarian.
Polis menyerbu rumah Kapten Zaharie Ahmad Shah semalam dan dijangkakan membekalkan maklumat kepada penyiasat.
Juruterbang berpengalaman itu pernah terbang sejauh 18,000 batu dan dikenali oleh rakan-rakannya sebagai seorang yang baik hati dan cintakan pekerjaannya.
Bapa kepada tiga anak itu, Kapten Zaharie memuat naik video di YouTube dan menganggapnya sebagai “khidmat awam” menerangkan bagaimana untuk melaraskan peti ais bagi menjimatkan tenaga elektrik. Dalam video itu, beliau dilihat duduk di hadapan simulator penerbangan yang dibina di rumahnya.
Tahun lalu sebelum Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13), beliau menjadi sukarelawan untuk berkempen bagi calon PKR, Sivarasa Rasiah. “Beliau seorang yang peramah dan banyak membantu,” kata Sivarasa.
Menurut seseorang yang dekat dengan keluarga Zaharie, keluarganya sudah putus harapan beliau akan ditemui hidup dan sudah mengadakan solat jenazah.
Pembantu juruterbang, Fariq Hamid, yang baru-baru ini melepasi kelayakan untuk menerbangkan Boeing 777-200, sama seperti pesawat yang hilang pada 8 Mac, dikatakan melakukan kesalahan dalam penerbangan sebelum ini.
Media antarabangsa melaporkan wanita dari Afrika Selatan mendakwa pada 2011 Fariq menjemputnya dan seorang lagi wanita untuk berada di kawasan juruterbang atau kokpit dalam satu penerbangan dari Phuket, Thailand ke Kuala Lumpur dan berada di situ sepanjang penerbangan.
Malaysia Airlines bagaimanapun dalam satu kenyataan awal minggu ini berkata, mereka “terkejut” dengan pendedahan itu.