DETIK DAILY
Sehingga artikel ini ditulis pada Selasa malam, misi pencarian pelbagai negara masih dijalankan, melepasi hari ketiga dan menambahkan lagi keresahan.
Pada masa yang sukar ini, yang akan meliputi satu tempoh yang agak panjang hingga selepas nasib pesawat MH370 dan semua penumpangnya, wajarlah kita semua memanjatkan doa kepada Allah SWT agar kesudahan yang baik kepada episod ini diperolehi.
Peristiwa ini akan memberi kesan dari pelbagai sudut kepada negara kita, dan implikasinya juga dijangka agak meluas, kerana sifat kejadian ini dan pihak-pihak yang terlibat dalam insiden ini.
Kita mengharapkan kesan kejadian ini tidak akan menimbulkan apa-apa yang menggugat negara kita, dari segi politik, keselamatan dan sebagainya.
Kejadian ini telah menjadi berita utama dan muka depan akhbarakhbar dan portal berita seluruh dunia, menambahkan tekanan kepada pihak berkuasa dan juga negara kita secara umumnya.
Peristiwa ini akan menjadi salah satu peristiwa yang paling diingati oleh banyak pihak di seluruh dunia melibatkan Malaysia.
Pada masa yang menguji kita ini, masa ramai pihak berdepan emosi yang sukar dibayangkan, eloklah kita mengelakkan daripada mengeluarkan kenyataankenyataan yang tidak wajar, mengguris perasaan dan menambahkan lagi kekusutan.
Semoga ujian ini akan mematangkan kita dan menjadikan kita lebih bersedia menghadapi ujian dan cabaran pada masa akan datang.
Pada masa yang sama kita berdepan insiden nasional ini, Pakatan Rakyat juga akan menghadapi pilihan raya kecil Dun Kajang, dalam persaingan satu lawan satu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan wakil MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun.
Pilihan raya yang diadakan tidak lama selepas konvensyen Pakatan Rakyat yang kelima, medan pilihan raya di Kajang ini wajar menunjukkan kesatuan antara komponen Pakatan, sebagai satu bukti janji kerjasama dan bukti kemampuan Pakatan untuk terus dipilih rakyat untuk menggantikan Barisan Nasional sebagai pemerintah di peringkat persekutuan.
Selepas lima konvensyen, sewajarnya Pakatan menjadi lebih kukuh dan bersatu hati, dan Kajang akan menjadi satu bukti yang akan menambahkan keyakinan terhadap kesepakatan ini.