Kita semua dalam dilemma berkaitan dengan kehilangan pesawat penerbangan MAS MH370 kerana sehingga hari ini yang sudah masuk hari ke enam, masih tidak menampakkan apa-apa kejayaan dalam pencarian kita. Kini sudah menjangkau keluasan kawasan kepada 27,000 batu persegi untuk pencarian tersebut.
Tidak siapa yang menafikan yang kerajaan sedang melakukan apa yang terbaik untuk menyelesaikan isu yang sangat besar yang boleh mempengaruhi kredibiliti kerajaan kita dan pimpinannya, tetapi kita juga mahukan kejujuran itu di pandu oleh kemahiran dan kebijaksanaan pimpinan hari ini.
Keadaan begitu meruncing sehinggakan Vietnam telah mengurangkan ‘scale’ penglibatannya sehingga Putrajaya memberikan panduan dan kehendak perancangan pencarian secara tegas dan meyakinkan. Kita memahami yang kejadian kehilangan pesawat ini merupakan kejadian tidak di minta dan yang tidak ditunggu-tunggu.
Yang menghadapi musibah ini ialah negara kita, dan kita tidak mungkin wajar untuk menyerahkan segala tugas mengkoordinasi itu kepada agensi antarabangsa. Kerajaan dan penguasa negara kita perlu melakukan koordinasi ini maka ia memerlukan fokus dan tumpuan yang betul dalam menghadapi krisis yang sangat besar ini.
Krisis kali ini bukannya krisis yang pertama yang dihadapi oleh negara. Krisis Japanese red army pada tahun tujuh puluhan dahulu juga merupakan krisis yang besar tetapi semasa itu kita mempunyai pemimpin yang diakui kredibilitinya seperti Tun Ghazali Shafie. Kita masih ingat yang kerajaan tidak membenarkan terlalu ramai yang memberikan kenyataan untuk tidak mengelirukan orang ramai.
Dalam krisis itu hanya King Ghaz sahaja yang mengeluarkan apa-apa kenyataan dan krisis yang sangat besar itu selesai hasil dari kelicinan perjalanan pengurusan krisis itu. Kita boleh memberikan alasan yang krisis yang kita hadapi sekarang adalah satu krisis yang berlainan bentuk dan keadaannya, tetapi apa yang dimaksudkan di sini ialah kaedah mengendalikan krisis ini.
Kita tidak pernah menafikan keikhlasan pihak yang berwajib dalam menangani krisis ini tetapi yang kita persoalkan, kita tidak mempunyai koordinasi yang tepat dalam menghadapi media dan orang ramai. Memilih seseorang sebagai koordinator dalam menghadapi masyarakat dan media antarabangsa ini perlu dilakukan dengan teliti dan jika lebih baik keputusan itu perlu dibuat oleh Kabinet Kerajaan.
Dengan mengambil keputusan kabinet, ia akan menentukan ‘accountability’ keputusan ini diambil oleh kabinet sendiri. Buat masa ini kita tidak tahu siapa yang bertanggungjawab terhadap isu ini.
Ramai yang bertanya siapa yang kita hendak dengar? Adakah dari DCA atau APMM? Adakah dari tentera laut atau tentera udara? Atau kita yakini kenyataan Hishamudin atau Ahmad Zahid Hamidi? Kalau kita amati dan mengikuti perkembangan sejak enam hari yang lepas kita telah mendengar kenyataan Shahidan Kassim yang terlalu rendah kredibilitinya untuk menghadapi situasi yang sangat serius ini.
Kita terpaksa menyebut ini semua kerana ia membabitkan imej dan persepsi rakyat dan masyarakat antarabangsa dan sekali gus ia menjahanamkan kredibiliti ‘government of the day’. Jika ini berterusan maka persepsi semua pihak terhadap kerajaan akan tidak dapat diperbaiki lagi sedangkan pimpinan hari ini sudah tersedia menghadapi krisis keyakinan yang amat serius jika pun insiden kehilangan pesawat ini tidak pernah berlaku.
Sekarang kita sudah ‘conclusive’ yang pemimpin-pemimpin hari ini sebenarnya belum diuji tentang kepimpinan masing-masing. Pemimpin-pemimpin hari ini adalah dari kumpulan yang menaiki tangga kepimpinan melalui jalan yang tidak diuji kepimpinan mereka. Mungkin mereka boleh mengumpulkan orang dan membawa rakyat untuk berfikir dengan budaya ampu mengampu yang hanya diperkuatkan dengan otot yang ada kepada kerajaan itu.
Kita belum lagi mengalami penukaran kerajaan seperti negara lain yang sudah tersedia dengan pengalaman sebagai demokrasi sistem dua parti. Oleh kerana pembangkang belum lagi mempunyai pengalaman menjadi kerajaan di peringkat persekutuan ini, maka mereka juga belum pasti boleh menyelesaikan krisis seperti ini jika sekarang mereka yang memimpin kerajaan hari ini.
Krisis yang sebesar ini perlu ditangani oleh pemimpin yang benar-benar berpengalaman dan tidak menggunakan kesempatan untuk mempamirkan diri dimuka media sahaja. Krisis yang melanda MAS kali ini adalah krisis yang boleh mempengaruhi kepimpinan negara dan ia patut di selenggara dengan penuh teliti dan ketulinan kemahiran kepimpinan mereka.
Kita tidak boleh mengendalikan isu ini seperti kita mengendalikan politik kepartian yang sedang berperang. Kita sekarang bukan sedang membuat pilihan diantara calon-calon PRK Kajang yang terhasil dari krisis dalaman PKR. Ini krisis nasional yang amat serius yang melibatkan negara dan masa depan negara dikaca mata masyarakat antarabangsa lebih-lebih lagi yang melibatkan nyawa manusia yang tidak berdosa.
Yang perlu di fahami ialah tidak ada seorang yang mahu melihat perkara seperti ini berlaku dan seperti yang disebut dalam posting yang lepas tiada siapa yang tidak berdoa untuk keselamatan semua penumpang dan anak kapal itu.
Semua mahu melihat kebaikan walaupun sekarang sudah sampai hari ke enam kehilangan pesawat itu. Kita dapat menumpang merasakan kesedihan dan tekanan yang dihadapi oleh keluarga yang terlibat. Kita tidak pernah menjangkakan yang kemalangan ‘of this magnitude’ berlaku kepada negara kita