SAYA bersetuju, seandainya Anwar Ibrahim tidak memulakan 'Langkah Kajang', maka kemungkinan besar beliau tidak akan berdepan dengan hukuman penjara lima tahun pada 7 Mac 2014, setelah Mahkamah Rayuan secara tergesa-gesa menolak keputusan asal Mahkamah Tinggi pada 9 Januari 2012.
Tetapi saya tidak bersetuju, seandainya Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli dipersalahkan kerana strategi ini diumpamakan sebagai senjata yang makan tuannya.
Sebaliknya, saya menganggap reaksi Umno-Barisan Nasional, yang diterjemahkan dalam hukuman 'penjara lima tahun' - membuktikan bahawa Langkah Kajang adalah tepat. Malah, reaksi ini dengan sendirinya menunjukkan siapakah Menteri Besar Selangor yang paling digeruni Umno-BN.
Sesungguhnya, jikalau status quo dikekalkan untuk empat tahun akan datang, barangkali tiada perubahan mendadak sebagaimana yang berlaku sekarang.
Kerajaan negeri Pakatan Rakyat akan meneruskan pentadbirannya seperti biasa, berbangga untuk mengumpul rizab yang berbilion-bilion ringgit dan dasar air percuma, sementara dikritik sekali-kala kerana kurang peka dengan beberapa isu politik yang membabitkan kaum dan agama.
Pergelutan kuasa dalaman mungkin berlanjutan, sabotaj berlaku di sini sana, ketidaksepakatan antara pimpinan negeri dengan pusat ... akhirnya rakyat tersepit dalam dilema - tidak sampai hati untuk menghukum Pakatan sehingga BN dimanfaatkan, tetapi pada masa yang sama diselubungi kekecewaan kerana sokongan terhadap Pakatan diambil kesempatan begitu sahaja.
Di sebelah Umno-BN pula, dengan kuasa dan sumber yang digenggam dalam tangannya, mereka sebenarnya tidak perlu menjolok sarang tebuan dengan menyumbat Anwar ke dalam penjara.
Kes ini akan terus ditangguh, kerana tidak mahu mengambil risiko untuk mencungkil kemarahan rakyat, yang seterusnya mengundang malapetaka kepada dirinya.
Umno-BN cukup sedar, dengan institusi penting seperti polis, kehakiman, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), media dan sebagainya dalam cengkamannya, mereka sebenarnya menguasai gelanggang.
Mengekalkan status quo bermakna mengekalkan Pakatan dalam kedudukan pasif. Jikalau diumpamakan dengan permainan 'rally panjang' dalam badminton, cara permainan Pakatan sebegini seolah-olah menunggu kesilapan lawan, kerana tidak mahu menghabiskan stamina untuk smash, dan tidak berani mengambil risiko untuk bermain di depan jaring.
Umno-BN pula membuat serangan hendap sekali-kala, tetap menang sungguhpun bola terkeluar garisan, kerana penjaga garisan dan pengadil adalah orangnya. Ia berakhir sebagai pertandingan yang membosankan. Meskipun marah dengan pengadil yang berat sebelah, penyokong Pakatan juga kecewa kerana Pakatan memilih untuk "bermain secara selamat".
Dalam konteks ini, Langkah Kajang boleh dilihat sebagai smash kencang yang dilakukan Anwar terhadap Umno-BN. Ia langkah mengejut, dan Umno sedar bahawa seandainya mereka tidak menyekat kemaraan langkah Anwar, maka dirinya mungkin kecundang.
Cara Umno bukan mengukuhkan kawalannya, tetapi melucutkan kelayakan Anwar sebagai pemain melalui pengadil, kononnya Anwar berkelakuan tidak senonoh kerana telah mendedahkan bahagian perutnya ketika mengesat peluh dengan bajunya.
Jadi, apakah ia adil untuk mempersalahkan Anwar, bahawa strateginya untuk menyerang telah menyebabkan Umno terasa kedudukannya tergugat, lantas mengundang kesudahan dengan dirinya dinafikan kelayakan bertanding?
"Mengapa smash banyak sangat kerana ia akan menghabiskan stamina, menitiskan peluh sehingga anda perlu mengesatnya dengan baju?" Tapi secara sedar, kita tahu Anwar dilayan secara tidak adil, dengan tuduhan yang tidak masuk akal, malah proses pengadilan yang menghina keadilan itu sendiri!
"Sekurang-kurangnya perlawanan boleh diteruskan, jikalau bukan aksi Anwar." Mungkin benar, tetapi perlawanan diteruskan dengan kekalahan Pakatan di penghujungnya.
Pakatan bermula dengan lima kerajaan negeri pada 8 Mac 2008, dan hanya tinggal tiga selepas lima tahun. Itupun Pakatan bermula dengan penuh tenaga kerana masih segar meraihkan kemenangan di luar jangkaan.
Persoalannya, tempoh bulan madu telah tamat setelah memasuki penggal kedua. Rakyat menaruh harapan yang lebih tinggi, sementara kerajaan Pakatan penggal kedua semakin ketandusan idea untuk menyuntik semangat baru.
Apabila politik diheret hanya untuk menyelesaikan masalah tempatan (sungguhpun tidak dinafikan kepentingannya), maka ia tidak banyak membezakan Pakatan dari BN. Maklumlah, semua urusan teknikal ini membabitkan keberkesanan jentera birokrasi beroperasi. Sama ada Pakatan mahupun BN tidak terelak dari kesilapan, dan akan menjaringkan gol jika bernasib baik.
Kita perlu berdepan dengan persoalan besar, adakah kita mahu mengisi tempoh empat tahun akan datang dengan ulangan empat tahun lalu? Jikalau begini, persoalan untuk kita dalam PRU14 bukan sama ada Pakatan berjaya menawan Putrajaya, tetapi sejauh manakah Pakatan mampu mempertahankan tiga kerajaan negeri yang dikuasainya sekarang? Jangan kita bermimpi untuk menawan, mengawal di gelanggang sendiri pun payah!
Ya, Umno-BN telah mencelarukan Langkah Kajang kali ini, dengan segala kuasa yang ada, tetapi semangat Pakatan kembali sedikit sebanyak lantaran ini. Semuanya terasa bahang bahawa pembangkang tidak bebas daripada kezaliman Umno-BN. Dengan kata lain, adalah paling bahaya jikalau kita terus bermain dalam zon selesa.
Keputusan boikot persidangan Dewan Rakyat membuktikan kesedaran ini. Kezaliman terhadap Anwar telah menyatu-padukan semula Pakatan. Bayangkan, apakah 8 Mac tahun ini akan disambut sebegini jikalau tanpa Langkah Kajang?