Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Rakyat tak suruh Rosmah sibuk siang malam

$
0
0

Oleh RAYUSA


DALAM ucapan merasmikan Hari Kraf Kebangsaan 2014 (HKK 2014) di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, 27 Februari lalu, Datin Seri Rosmah Mansor mengatakan bahawa kesibukan berkhidmat untuk rakyat membuat beliau tiada masa lagi untuk melayan hobinya.

Luah (seolah-olah mendakwa) isteri Perdana Menteri itu, semua telah diambil (oleh rakyat) daripadanya, termasuk masa dan kegemaran. Oleh kerana hanya meluangkan masa untuk rakyat, tambahnya, beliau tidak sempat bermain badminton lagi.

Sebenarnya, Rosmah tidak perlu mengeluh atau meluahkan perasaan tersebut. Beliau boleh memilih sama ada ingin sibuk atau mahu bermain badminton.

Terpulang kepadanya. Saya fikir, lebih baik beliau bermain badminton daripada ke sana ke sini, apatah lagi “menjadi bahan cemuhan rakyat.”

Lima Perdana Menteri sebelum Dato’ Seri Mohd Najib Razak selalu dikritik dan dikecam oleh rakyat, terutamanya Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Walau bagaimanapun, isteri mereka tidak dikutuk oleh rakyat sebagaimana yang dialami oleh Rosmah setiap masa.

Kadang-kadang timbul rasa hairan kerana walaupun semakin dihentam, seperti semakin galak pula Rosmah “merelakan” beliau terus menjadi omelan rakyat siang malam.

Rosmah tidak perlu menyibukkan diri. Beliau hanya isteri Perdana Menteri. Mengapa suka “tiada kerja, cari kerja”? Beliau tidak perlu terlalu kerap menyertai lawatan kerja suaminya.

Lagipun, wang untuk membiayai kos “menyibuk” tersebut dipertikai.

Rakyat tidak pernah meminta Rosmah menyibukkan diri beliau kerana mereka tidak kurang atau lebih apa-apa pun. Bukankah sudah ada menteri yang dilantik?

Janganlah “potong jalan” dan “seperti kaduk naik junjung” kerana bukan sahaja kerap tampil bersama suami, malah sentiasa mencampuri urusan pentadbiran negara!

Mengapa terlalu kerap menghadiri majlis besar, sama ada sebagai antara mereka yang turut berucap atau merasmikannya? Tambah “menakjubkan” apabila ada pemimpin luar negara yang bertemu dengannya dalam majlis rasmi! Seolah-olah beliau adalah Perdana Menteri.

Merasmikan HKK 2014 misalnya. Adakah beliau mahu atau diminta melakukannya? Jika mahu, memang beliau sendiri suka sibuk kerana permintaan boleh ditolak dengan baik. Bukankah Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Dato’ Seri Mohamed Nazri Aziz lebih wajar merasmikan acara seperti HKK 2014 itu? Nazri hanya menghadirkan diri.

Apakah hobi Rosmah kini sudah bertukar, tetapi beliau mengatakan tiada masa lagi melayan hobi?
Mengapa beliau “sibuk-sibuk” memberi pelbagai kenyataan atau pandangan? Teladanilah isteri lima Perdana Menteri yang lalu.

Rosmah bukan sahaja “sibuk berjalan dan bercakap”, malah turut menubuhkan program Permata yang mendapat peruntukan besar mengatasi jumlah yang diterima oleh kementerian atau agensi kerajaan.

Mengapa Permata perlu ditubuhkan kerana sudah ada kementerian yang lebih relevan, iaitu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat?

Dalam ucapannya, Rosmah juga cuba menjadi seperti pakar batik dan busana. Beliau menyarankan usahawan batik lebih peka dengan tema terkini supaya corak yang dihasilkan tambah menarik dan tidak seperti “tsunami” atau “gunung berapi”. Katanya yang mempunyai citarasa batik berwarna cerah, keadaan itu akan menarik minat pembeli luar negara.

“Saya akan selalu memberi cadangan kepada pembekal batik, sesiapa mahu membekalkan batik untuk saya, bekalkan warna cerah, tetapi jangan berserabut seperti “tsunami”, katanya.

“Tema “tsunami” dan “gunung berapi” itu bukan sesuatu yang baik untuk dipandang orang. Wajar bercorak yang sangat menarik, sejuk mata memandang, terutama kepada pelanggan luar negara, katanya yang turut menasihatkan pembekal supaya selalu meneliti laman web bagi mengikuti warna dan corak terkini,” tambah Rosmah. Mengapa Rosmah terlalu takut dengan corak “tsunami” itu (kalau benar yang dikatakannya itu “tsunami”)?

HKK 2014 yang dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan berlangsung dari 26 Februari lalu hingga 10 Mac ini.

Tema HKK kali ke-12 tersebut ialah “Sumber Alam Nikmat Keharmonian”. Sumber alam bermaksud penggunaannya sebagai bahan mentah utama dalam menghasilkan produk kraf tempatan yang lahir dalam pelbagai bentuk mengikut keperluan dan cita rasa masa kini.

Nikmat keharmonian pula bermaksud penyatuan kepelbagaian bangsa dalam kalangan pembeli dan peniaga yang bersama-sama menikmati sertai menghargai keindahan produk kraf daripada sumber alam. Ia turut diterjemahkan sebagai peluang meningkatkan ekonomi usahawan kraf, kebahagian keluarga, dan kemajuan negara.

Dengan konsep “futuristik”, HKK 2014 menampilkan himpunan hasil seni kraf tempatan seperti tekstil, hasil rimba, hasil tanah/ seramik, logam dan kraf etnik menerusi kegiatan harian seperti jualan kraf, pameran dan jualan produk kraf rekaan baharu, pameran dan jualan produk kraf warisan, pameran dan jualan seni ukiran kayu dalam seni, pameran teknologi – sistem rawatan pengaliran keluar kumbahan batik, padanan perniagaan, demonstrasi pembuatan produk kraf tempatan, demonstrasi masakan tradisional, interaktif kraf, peragaan fesyen, Bicara Kreatif (yang turut menampilkan “Pameran Profil Pereka Siri 4”), Pertandingan Produk Kraf 2014, dan Pertandingan Bintang HKK 2014 – nyanyian dan choral speaking. Persembahan kesenian dan lawatan berpandu berkumpulana turut diadakan.

Kira-kira 500 syarikat pengusaha kraf seluruh negara menyertai HKK 2014 yang dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam secara percuma itu.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722