Sebuah syarikat satelit berpengkalan di Colorado, Amerika Syarikat menyediakan khidmat atas talian untuk orang ramai dapat membantu dalam misi pencarian pesawat Malaysia Airlines, MH370 yang hilang.
DigitalGlobe (www.digitalglobe.com) memiliki dan mengendalikan lima satelit persendirian dan imej yang diperoleh berjarak 400 batu dari bumi jelas dan tepat.
Orang ramai boleh melayari www.tomnod.com/nod/challenge/malaysiaairsar2014 dan kemudiaan meletak nota sekiranya menemui sesuatu objek dan kemudiaannya menghantar ke saluran rasmi.
Konsep pencarian sistem satelit ini dipanggil pengumpulan sumber (crowdsourcing), tujuannya adalah mendapatkan seramai mungkin penjejak gambar tersebut dengan cubaan untuk mendapatkan petunjuk.
"Ini adalah seperti masalah mencari jarum dalam timbunan jerami. Berbezanya, jerami itu berada di tengah lautan," kata Luke Barrington, jurucakap daripada DigitalGlobe yang dipetik dalam laman Courierpress.com
"Kami gesa anda tandakan sebarang perkara menarik, petunjuk bangkai ataupun rakit keselamatan."
Sebelum ini, beberapa imej yang dikumpulkan oleh syarikat tersebut berjaya menjejak kerosakan bencana alam termasuk di Moore, Okla, ribut taufan tornado dan banjir besar di Colorado.
Teknologi tersebut juga membantu mengesan dua pendaki yang hilang di Peru.
Semakan di laman rasmi syarikat tersebut mendapati DigitalGlobe merupakan pemain industri dalam pertahanan dan risikan serta penglibatan dalam sistem satelit kepada kerajaan Amerika Syarikat dan beberapa pelanggan lain di seluruh dunia.
Pesawat MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing yang membawa 227 penumpang serta 12 anak kapal, hilang daripada radar, kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang, pada pukul 12.41 pagi Sabtu.
Sementara itu, misi mencari dan menyelamat sudah lebih 100 jam masih gagal menemui petunjuk baru.
Beberapa negara juga turut menyertai operasi, antaranya Vietnam, Jepun, China, Singapura, Indonesia dan Amerika Syarikat.
Misteri kehilangan pesawat MH370 tersebut masih menjadi tanda tanya.