Oleh Shuhainiza Said
KAJANG: Pakatan Rakyat secara rasminya membatalkan tawaran mengadakan konsensus nasional bersama Barisan Nasional (BN), ekoran keputusan Mahkamah Rayuan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa dipengaruhi parti pemerintah itu.
Perkara itu dinyatakan oleh Anwar dalam satu ceramah pra penamaan calon, di sini, malam tadi.
"Semalam dalam mesyuarat Majlis Pakatan, Datuk Seri Hadi Awang, Kit Siang ada dan saya, kami ambil keputusan. Dulu kita mencadang dialog bulan Ogos tahun lalu..Isu kaum, agama, rasuah, ekonomi.
"Kemudian kita ulang lagi konsensus nasional.. Bergaduh ini rakyat susah. Sekarang ini, sudah, tidak ada lagi diolog, tidak ada lagi konsensus. Kita lawan.. Kerana biadap, ini soal badan kehakiman.. bukan soal Anwar," katanya.
Anwar, 67, dijatuhi hukuman selama lima tahun penjara oleh Mahkamah Rayuan, Jumaat lalu di atas pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu.
Pakatan menyifatkan keputusan tersebut sebagai konspirasi kerajaan bagi menghalang usaha Ketua Umum PKR itu bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang, 23 Mac ini.
Keputusan tersebut juga sekaligus tidak melayakkan Anwar untuk bertanding, dan tempat tersebut kemudian digantikan oleh isterinya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Tambah Anwar, beliau sudah lali dengan kezaliman Umno-BN terhadapnya sejak 16 tahun lalu, dan parti pemerintah itu dakwanya sekali lagi mengulangi kezaliman tersebut sehingga terdesak menggunakan institusi kehakiman demi mencapai matlamat.
"Kita sekarang ini isytihar perang dengan pemimpin Umno dan Barisan Nasional. Ada orang tanya kenapa Anwar perang dengan Umno..tidak. Saya perang dasar, pimpinannya. Dan saya rayu penyokong Umno, berhijrahlah," ujarnya.