SEPANG - Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengesahkan dua individu yang menggunakan pasport curi menaiki penerbangan MH370 adalah lelaki dan bukan berwajah Asia.
Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Azharuddin Abdul Rahman perkara itu sudah dipastikan selepas melihat rakaman CCTV di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Namun beliau tidak menyatakan kewarganegaraan dua lelaki berkenaan.
"Berdasarkan siasatan dan melihat rakaman itu berulang-ulang kali dan dipastikan semua protokol keselamatan telah dipatuhi.
"Kami sahkan bahawa mereka bukan lelaki Asia," katanya pada sidang media di Hotel Sama Sama, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyatakan kemungkinan dua lelaki terbabit dalam sindiket pasport curi.
"Ada kemungkinan mereka ini daripada sindiket pasport curi," katanya.
Sejak kehilangan MH370, fokus terarah kepada dua individu tersebut dan pelbagai spekulasi timbul.
Setakat jam 8 malam, tiada sebarang penemuan dilaporkan pihak berkuasa.
Sehubungan itu, kawasan pencarian diluaskan lagi sekitar 100 batu nautika.