KEADILAAN DAILY
KUALA LUMPUR : Malaysia Airlines (MAS) berusaha sedaya upaya mengesan pesawatnya yang hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing berdasarkan kedudukan terakhir sebelum ia terputus hubungan radar.
Eksekutif Perhubungan Media dan Komunikasi Strategik MAS, Malini Saudranrajan dipetik sebagai berkata, kedudukan terakhir pesawat yang diketahui ialah 065515 Utara (longitud) dan 1033443 Timur (latitud).
“Malaysia Airlines masih tidak dapat menghubungi atau menentukan kedudukan pesawat penerbangan MH370,” katanya dalam satu kenyataan disiar Bernama.
Beliau berkata MAS sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dan memberi jaminan semua sumber telah digunakan untuk membantu dalam gerakan mencari dan menyelamat.
Sementara itu, media melaporkan waris penumpang pesawat MH370, diberitahu supaya bersedia untuk diterbang ke lokasi yang tidak dinyatakan pada pukul 6 petang hari ini.
Dalam pada itu, Malaysiakini melaporkan, ahli keluarga penumpang pesawat MH370 berang kerana mengadu tidak mendapat maklumat perkembangan terkini.
AFP melaporkan keluarga penumpang rakyat China dalam pesawat yang hilang itu, berkumpul di sebuah hotel di Beijing dan ada yang berang kerana tidak dikemaskini maklumat mengenainya.
“Mereka sepatutnya memberitahu kita sesuatu sebelum ini,” kata seorang lelaki dari bandar di utama China, Tianjin yang dipetik oleh AFP.
“Kami tidak diberitahu apa-apa tentang perkara ini. Saya tidak tahu mengapa mereka tidak mengeluarkan apa-apa maklumat,” kata seorang lelaki yang lain.
Terdahulu, ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyeru rakyat Malaysia mendoakan untuk keselamatan semua penumpang pesawat.
“Marilah kita sama-sama mendoakan untuk keselamatan pesawat Malaysia Airlines MH 370 serta semua penumpang dan anak kapal Malaysia Airlines yang terputus hubungan dengan kawalan trafik,” tulisnya di Twitter hari ini.
Penerbangan MH370, sebuah pesawat Boeing 777-200 dalam perjalanan ke Beijing dari KLIA, hilang di ruang udara Vietnam. Tentera laut Vietnam mendakwa pesawat itu terhempas di perairan mereka, tetapi kerajaan Malaysia masih berusaha mengesahkan ini.
Pesawat itu membawa 239 penumpang, termasuk 12 anak kapal. Terdapat 152 warga China dan 38 rakyat Malaysia dalam pesawat itu. Setakat ini, pihak berkuasa Vietnam, Malaysia dan China sedang melancarkan misi bersama mencari dan menyelamat.