Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

Pengorbanan pesawah tidak dihargai - Belatani

$
0
0
ANIS NAZRI 


SHAH ALAM: Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-5 turut memberi ruang kepada wakil NGO bagi berkongsi pengalaman dan menyatakan pendirian berhubung agenda perjuangan masing-masing.

Bermula dengan wakil Badan Membela Kebajikan Petani (Belatani), Mohd Subri Mohd Said, menuntut agar kerajaan memberi layanan yang sama rata seperti yang diperoleh pegawai keselamatan negara.

Beliau berpandangan peranan petani dan pesawah sama pentingnya seperti pegawai keselamatan memandangkan mereka merupakan yang bertanggungjawab terhadap keselamatan makanan negara.

Kata beliau, jerit perih para petani dan pesawah perlu dihargai kerajaan dengan tidak beranggapan bahawa nasib golongan petani sudah cukup terbela.

"Hakikatnya, nasib petani dan pesawah ini masih tidak terbela. Justeru, kami menuntut agar harga lantai ditetapkan dari 75 sen ke RM1.50 sekilogram, selain mengekalkan subsidi serta insentif sedia ada," tegas beliau.

Sementara itu, wakil Gerakan Turunkan Kos Sara Hidup (Turun), Azan Safar turut menyatakan kesesuaian tema konvensyen ini dengan keadaan suasana negara hari ini.

"Tema yang dipilih hari ini turut menjadi cetusan dari anak muda yang menandakan mereka sudah bangkit dan bersedia untuk rakyat untuk menjayakan agenda perubahan," tegas beliau.

Beliau turut melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan keputusan yang dikenakan ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, lewat petang semalam.

Dalam pada itu, Gerakan Media Marah (Geramm) melalui wakilnya Radzi Razak turut meminta semua pihak, khususnya parti politik untuk memberikan layanan yang sama-rata kepada para pengamal media.

Tegas beliau, Geramm berpendirian media perlu bebas dan tidak mahu bermusuh dengan mana-mana pihak, sama ada dari kerajaan mahupun pembangkang.

"Atas sebab itu, Geramm berada di sini kerana Geramm konsisten dengan kebebasan media yang diperjuangkan. Geramm bersedia untuk memenuhi undangan dari mana-mana parti politik atas prinsip perjuangan kami," kata beliau.

Sementara itu, sebuah NGO perguruan, Pendidik turut melontarkan pendirian terhadap kebobrokan sistem pendidikan negara serta campurtangan politik yang berlaku dalam sistem pendidikan.

Pengerusinya, Normala Sudirman menyatakan komitmen untuk terus berjuang bersama-sama para guru bagi memastikan tekanan berterusan ke atas kerajaan jika berlaku sebarang kezaliman terhadap guru-guru dan anak bangsa.

Wakil Badan anti-korupsi, C4, Chyntia Gabriel, turut mengingatkan Pakatan Rakyat agar terus mentadbir negeri-negeri yang dimenanginya dengan pentadbiran yang lebih telus.

Katanya, biarpun kerajaan negeri Pakatan Rakyat dibuktikan berjaya mengurus tadbir dengan  baik di beberapa buah negeri, Pakatan Rakyat masih perlu memastikan ia tidak terpalit dengan isu rasuah.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722