Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

MOU air Selangor: Untung atau rugi?

$
0
0

MALAYSIAKINI

 




Air buat julung-julung kali dijadikan salah satu tawaran dalam manifesto pilihan raya oleh satu gabungan parti politik yang bertanding dalam Pilihanraya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008.

Tawaran 20 meter padu pertama percuma setiap bulan selanjutnya menjadi salah satu daripada 17 inisiatif pentadbiran Pakatan Rakyat di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor.

Dalam manifesto bagi PRU-13, selain meneruskan kesinambungan polisi air percuma, Pakatan Rakyat turut menawarkan penstrukturan semula industri air negeri bagi melindungi hak rakyat Selangor mendapat bekalan air terawat pada harga yang berpatutan dan peruntukkan saham syarikat air baru secara percuma kepada rakyat Selangor yang layak, bakal terbentuk hasil pergabungan empat syarikat konsesi air.

Belum pun cukup setahun semenjak kemenangan bergaya dengan majoriti lebih dua pertiga di Dewan Negeri Selangor, semakin jelas Pakatan Rakyat hanya tinggal setapak dua sahaja lagi untuk mengotakan segala tawaran berkaitan air.

Sebagaimana yang terkandung dalam manifesto bagi PRU-13 dengan termeterainya Memorandum Persefahaman atau Memorandum of Understanding (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor pada 26 Februari 2014 yang lalu.

Meskipun lima tawaran kerajaan negeri kepada pemegang konsesi sebelum ini sejak 2008 gagal mencapai persetujuan semua pihak secara “willing buyer, willing seller”, penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 atau Water Services Industry Act (WSIA) 2006 (Akta 655) dan undang-undang berkenaan lain yang menjadi tonggak MoU ini akhirnya akan memuktamadkan penstrukturan semula industri air Selangor.

Menjelang 10 Mac 2014, sekiranya tawaran Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), syarikat milik penuh Kerajaan Negeri ini ditolak atau diterima bersyarat oleh mana-mana syarikat konsesi, klausa “memudah cara penstrukturan semula melalui peruntukkan Perlembagaan Persekutuan, Akta 655 dan mana-mana undang-undang yang berkuatkuasa dan berkaitan” membawa maksud WSIA 2006 terutamanya Seksyen 114 dan/atau Seksyen 191 serta undang-undang berkenaan yang lain akan digunapakai oleh Kerajaan Persekutuan untuk memastikan penyusunan semula industri berjaya.

Walaupun masih terlalu awal untuk meramalkan bilakah proses pergabungan antara tiga syarikat rawatan air iaitu SPLASH, Puncak Niaga dan ABASS serta satu syarikat pengagihan air, SYABAS akan selesai sepenuhnya.

Atau bilakah rakyat Selangor yang layak akan mendapat saham percuma apabila syarikat-syarikat konsesi ini diambilalih oleh KDEB dan disusun semula di bawah Water SPV, syarikat konsortium milik KDEB, setidak-tidaknya satu rangka masa penyempurnaan iaitu tiga bulan telah ditetapkan.

Detik bersejarah, kebanggaan rakyat

Pada hemat saya, MoU ini merupakan satu detik bersejarah yang harus menjadi kebanggaan semua rakyat Selangor secara khususnya dan rakyat Malaysia secara amnya.

Pertama, MoU tersebut merupakan satu mercu tanda bagi rekonsiliasi nasional yang dilaungkan oleh Perdana Menteri Najib Razak dan gagasan konsensus nasional yang dipelopori oleh Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Kedua, MoU tersebut juga merupakan bukti jelas bahawa perbezaan politik boleh diketepikan untuk mencapai kata sepakat demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Sementara menanti MoU tulen yang muktamad dideklasifikan untuk tatapan umum, saya telah meneliti salinan MoU seperti yang tersebar dengan meluas di alam maya sejak beberapa hari lepas untuk meninjau apakah impak MoU tersebut terhadap kerajaan negeri khususnya dan rakyat secara amnya.

Dengan fokus semata-mata pada intipati MoU demi analisa objektif dan adil, saya sedaya-upaya mengelak daripada terheret dalam polemik seperti:

Kenapa Kerajaan Negeri Selangor bersetuju hadir ke majlis menandatangani MoU secara mengejut yang diuruskan oleh Pejabat Perdana Menteri tanpa merujuk terlebih dahulu kepada pimpinan Parti Keadilan Rakyat ataupun Pakatan Rakyat?

Kenapa terlalu lama masa diambil untuk mendedahkan kepada awam dokumen MoU tersebut secara keseluruhan yakni bertentangan dengan prinsip ketelusan dan kebebasan maklumat yang menjadi amalan Kerajaan Negeri?

Kesahihan MoU ini kerana ditandatangani tanpa diperhalusi terlebih dahulu dan diluluskan di mesyuarat EXCO negeri?

Berikut merupakan apa yang saya boleh simpulkan berdasarkan tafsiran dan pemahaman peribadi mengenai beberapa isu yang mungkin berbangkit:

1.Kos penstrukturan semula industri air Selangor ditanggung Kerajaan Negeri

Terdapat dua komponen dalam harga tawaran KDEB sebanyak RM9.652 billion kepada pemegang-pemegang saham kesemua empat syarikat konsesi air iaitu:

Komponen 1: RM1.972 billion - nilai ekuiti ditambah pulangan 12% setahun

Komponen 2: RM7.68 billion - jumlah pinjaman dan bon kepada institusi kewangan dan Kerajaan Pusat ditanggung oleh syarikat-syarikat konsesi

Komponen 1 akan dibiayai sepenuhnya oleh peruntukkan sebanyak RM2 billion yang dijanjikan oleh Kerajaan Persekutuan “untuk membantu Kerajaan Negeri dalam urusan pengambilalihan ekuiti” dengan penyerahan aset-aset berkaitan air yang “unencumbered” milik kerajaan negeri (aset keseluruhan dianggarkan bernilai RM12 billion) kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) pada nilai yang setara.

Komponen 2 pula akan disempurnakan oleh pemindahan aset-aset berkaitan air yang “unencumbered” milik syarikat-syarikat konsesi atau pertukaran dengan pegangan ekuiti dalam Water SPV kepada PAAB pada nilai yang sama.

Maka, jelas bahawa kerajaan negeri sebenarnya tidak perlu mengeluarkan belanja satu sen pun dalam transaksi pengambilalihan ini.

Ini bermakna tiada sebarang pinjaman atau pengumpulan dana yang perlu dibuat oleh kerajaan Negeri untuk membiayai pelaksanaan penstrukturan semula industri air Selangor. Malah, kerajaan negeri dijangka mendapat laba dalam bentuk tunai lebih kurang RM28 juta natijah transaksi pengambilalihan ini.

Sekiranya mana-mana pemilik konsesi membawa ke peringkat timbangtara antarabangsa untuk menyelesaikan pertikaian mengenai harga tawaran, saya yakin kos pengambilalihan tidak akan melebihi RM9.65 billion kerana pulangan tahunan 12% yang diambilkira dalam andaian penilaian ekuiti adalah jauh lebih lumayan berbanding piawaian antarabangsa pada kadar 8% sahaja.

2.Kebenaran bersyarat Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya (LRAL2)

Jika diteliti kesemua kenyataan yang dibuat oleh kerajaan negeri Selangor sebelum ini, kerajaan negeri sebenarnya tidak menolak LRAL2 bulat-bulat walaupun ramai kurang senang kerana LRAL2 sering digembar-gemburkan sebagai satu-satunya jalan penyelesaian untuk menjamin bekalan air berterusan bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Apa yang sentiasa ditekankan Kerajaan negeri adalah pembangunan LRAL2 berdasarkan satu keputusan yang diambil secara tergesa-gesa oleh pentadbiran negeri pra-2008 tanpa mengambilkira pelbagai pilihan lain yang lebih murah, lebih efisien dan lebih cepat untuk memastikan bekalan air terawat yang cukup.

Walaupun pada awalnya projek LRAL2 ini dijangka menelan belanja RM3.936 billion yang sebahagian besarnya dibiayai oleh Japan Bank for International Cooperation (JBIC), segelintir penganalisis meramalkan kos keseluruhan mungkin melonjak sehingga RM9 billion apabila siap sepenuhnya. 

Bagaimanapun, oleh kerana majoriti prasarana dan fasiliti berkaitan LRAL2 sebenarnya hampir siap (sebagai contoh, terowong merentasi Banjaran Titiwangsa sepanjang 44.6 km dari Sungai Semantan, Pahang ke loji rawatan di Sungai Langat, Selangor sudah 95% siap) di samping demi mengelakkan pembaziran dan situasi “gajah putih” setelah berbillion ringgit dibelanjakan.

Maka kerajaan negeri telah mengambil keputusan menjadikan LRAL2 sebagai “bargaining chip” dalam rundingan ini dan sebagai timbal balas bagi suntikan dana Kerajaan Persekutuan secara keseluruhan sebanyak RM2.909 billion.

Perlu diingat bahawa objektif utama yang ingin dicapai adalah untuk menstruktur semula industri air Selangor yang sangat “fragmented” demi menjamin akses rakyat kepada bekalan air bersih secara mampan dan pada harga yang berpatutan serta pengembalian aset air kepada rakyat melalui tawaran awam permulaan (IPO) saham dalam Water SPV dengan peruntukkan khusus untuk rakyat Selangor yang berhak.

Walaupun segala bentuk kelulusan atau kebenaran berkaitan pembangunan LRAL2 yang bakal dikeluarkan kerajaan negeri dalam tempoh 30 hari dari tarikh MoU adalah “bersifat mengikat dan tidak boleh batal atau ‘binding and irrevocable’ dan berkuatkuasa sepenuhnya dalam apa jua keadaan dan tidak boleh ditarik balik, dibatalkan, digantung atau diubahsuai melainkan atas permohonan Kerajaan Persekutuan”.

Saya kira beberapa langkah kawalan berikut seperti yang terkandung dalam MoU boleh digunapakai untuk menangkis sebarang kemungkinan:

Jawatankuasa khas projek LRAL2 yang bakal ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan akan dianggotai oleh wakil Kerajaan Negeri Selangor untuk memantau pelaksanaan projek terutamanya dari segi kos dan kelangsungan projek bagi mengelakkan pembaziran, ketirisan atau salah laku kewangan yang lain; dan,

Satu klausa dalam MoU (perenggan terakhir) yang menjamin hak mana-mana pihak untuk mengambil sebarang tindakan yang sewajarnya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan sebarang undang-undang yang berkenaan.

Esok bahagian II: Mungkinkah kenaikan tarif air berlaku?



AZRUL AZWAR AHMAD TAJUDIN adalah bekas ketua ekonomis Bank Islam

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722