TImage may be NSFW.
Clik here to view.

Rafizi telah mengkritik MoU itu dan berkata yang perjanjian itu akan melibatkan kos bagi kerajaan Selangor itu akan mencecah harga RM20 billion dan bukannya RM9.6 billion sebagaimana yang diumumkan oleh kerajaan negeri itu.
Khalid berkata beliau akan memberikan penerangan secara besar-besaran dan mengtaklimatkan isu air ini supaya tidak dikelirukan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan.
Khalid berkata yang semua pihak akan dapat memahami segala yang telah dipersetujui itu dengan memberikan pencerahan secara terbuka dan tepat dalam masa yang terdekat ini.
Bagi saya, rakyat yang biasa di bawah ini, wajar mendapat penerangan dengan baik. Penerangan itu boleh dilakukan dengan mengembalikan tindakan memberikan penerangan kepada rakyat Selangor seperti kurusus sivik yang lazim dilakukan oleh kerajaan dahulu.
Proses penerangan itu wajar dilakukan diperingkat kampung melalui penyelenggaraan setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di setiap kampung di Selangor.
Penerangan melalui JKKK ini amat perlu kerana setiap rakyat ditadbir oleh JKKK di kampung-kampung dan desa.
Penerangan perlu dilakukan oleh Jabatan Penerangan Daerah setelah semua pagawai-pegawai penerangan daerah diberikan taklimat dan memahami segala apa yang terkandung dalam MoU kerajaan Selangor dan persekutuan dan setiap kampung perlu diberikan penerangan itu.
Setelah memberikan taklimat kepada pegawai-pegawai penerangan dan pegawai-pegawai daerah, penerangan wajar diberikan secepat yang mungkin yang dianjurkan oleh JKKK setiap kampung itu.
Jika ada 150 orang sahaja kehadiran dalam sesuatu penerangan sivik itu, ia sudah cukup bagi kerajaan negeri mendapat perlindungan dari fitnah dan permainan politik sesuatu pihak terhadap kerajaan Selangor terutamanya dari ahli-ahli parti dan pemimpin dalam parti yang memerintah kerajaan Selangor itu.
Sesungguhnya inilah yang sudah tidak dilakukan oleh kerajaan sejak hampir 30 tahun dahulu.
Dulu-dulunya segala projek dan tindakan kerajaan persekutuan atau negeri, rakyat akan diajak untuk bersama-sama melaksanakan sesuatu dasar itu dengan memberikan mereka penerangan yang jelas dan salah satu caranya ialah dengan mengadakan kursus sivik untuk berinteraksi secara “direct” dengan rakyat bawahan.
Melalui kursus sivik itu rakyat akan merasakan yang mereka dibawa bersama untuk melaksanakan sesuatu tindakan kerajaan itu.
Itu sebabnya dahulunya rakyat tidak banyak membuat “complaint” terhadap kerajaan kerana mereka merasakan seolah-olah mereka adalah bersama-sama melaksanakan sesuatu tindakan itu.
Mereka akan mempertahankan semua tndakan kerajaan, dalam isu kini, tindakan kerajaan Selangor menandatangani perjanjian air yang telah lama tidak selesai itu.
Saya berharap Khalid akan melakukannya secara pantas kerana tindakan kerajaan negeri mengenai air ini telah menampakkan unsur-unsur “insubordination” di kalangan parti PKR itu sendiri.
Khalid mempunyai rakyat untuk mempertahankan tindakan beliau itu. Maka rakyat ramai wajar diberikan penerangan itu secepat yang mungkin sebelum ada pihak memecahkan kesatuan rakyat Selangor kerana kepentingan politik mereka sendiri.
Tindakan Khalid melakukan penerangan ini amat baik, tetapi ia perlu mencari jalan yang terbaik untuk mempertahankan tindakan beliau itu dengan berhadapan dengan rakyat melalui penerangan yang jelas di setiap kampung dan desa ini, kerana di situ letaknya benteng pertahananKhalid sebagai Menteri Besar negeri yang paling maju terutamanya di bidang perindustrian ini.
Saya sendiri menaruh minat yang amat besar untuk mengetahui perkembangan tentang apa yang berlaku dalam Selangor pada hari ini.
Khalid tidak perlu gusar dan bimbang untuk memberikan penerangan secara terbuka kerana akhirnya kebenaran di antara Khalid menghadapi mereka yang tidak sebulu dengan beliau dalam PKR itu akan terjelas juga akhirnya. – aspanalisne