Seorang rakan saya menceritakan bagaimana satu ketika beliau menanyakan suatu soalan kepada seorang mubaligh dari sebuah gereja perihal bagaimana gerejanya mampu menarik orang-orang Islam berkunjung ke situ hinga ada yang bertukar agama? Antara yang dimaklumkan kepada rakan saya termasuklah bagaimana pihak gereja menyediakan keperluan makanan semasa kepada sesiapa sahaja yang memerlukan untuk setiap hari.
Mereka yang menerima perbelanjaan makanan tersebut hanya perlu mencatatkan namanya dalam buku penerima bantuan setiap kali perbelanjaan diberikan. jika yang datang itu ketua keluarga, dia hanya perlu menulis setiap nama ahli keluarganya yang memerlukan bantuan makanan tersebut.
Menurut mubaligh tersebut, ada antara yang datang mendapatkan bantuan bukan sekali dua sahaja, bahkan kerap dan berkali-kali. Pihaknya tidak sekali-kali pernah mengajak orang-orang Islam yang datang mempercayai agama selain dari Islam. Namun hanya dengan kebaikan dan kebajikan yang diterima itulah akhirnya mereka yang beragama Islam berpaling kepada mereka, percayakan agama selain dari Islam.
Termenung panjang saya apabila mendengar cerita rakan saya tersebut. Apakah orang Melayu yang beragama Islam masih gagal menampilkan sikap berkebajikan dan kebaikan sesama Islam? Bahkan bukankah Islam itu cukup luas nilai berkebajikan dan kebaikan yang disaran untuk dilakukan oleh setiap penganutnya?
Bahkan dalam dunia persuratan melayu, kebajikan telah ditafsirkan cukup meluas. Ia bukan sebagaimana yang digambarkan oleh banyak pihak iaitu sekadar memberi dan menderma semata-mata. Dalam memberi makna “kebajikan”, Kamus Dewan Edisi Empat memberi makna kebajikan iaitu “..sesuatu yang membawa kebaikan, perbuatan baik, berbuat kebaikan kepada orang…”.
Sementara itu, indahnya nilai-nilai “berkebajikan” dalam Islam cukup hebat apabila ia difahami secukupnya. Selain menitikberatkan kehidupan duniawi, berkebajikan dalam Islam turut mengutamakan kesiapsagaan umat Islam kepada kehidupan hari akhirat. Justeru, suka atau tidak, al-Quran dan Sunnahlah sumber rujukan utama kita selain ijmak ulama dan kias.
Bermula dengan keimanan sepenuhnya kepada Allah SWT, keyakinan kepada berlakunya qiamat, memenuhi keperluan mereka yang memerlukan, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, serta menampilkan nilai-nilai kebaikan sejagat adalah termasuk sebagai nilai-nilai berkebajikan di dalam Islam. Yang nyata, Islam menetapkan berkebajikan adalah lebih dari sekadar kepada sumbangan harta atau pemberian semata-mata. Ia merangkumi seluruh sifat kelakuan perhambaan kepada Allah SWT dan hubungan kasih sayang sesama manusia.
Justeru, mendokong nilai-nilai berkebajikan itulah menjadikan gerak kerja Lajnah Kebajikan Dan Kamasyarakatan PAS LKKP cukup luas dan lebar. Bayangkanlah dengan mendokong aspirasi berkebajikan sebagaimana kehendak Allah dan Rasul-Nya, kita akan mampu untuk mengajak seluruh manusia untuk merasai betapa indahnya Islam sekali gus bersama bahu membahu dalam perjuangan mendaulatkan Islam.
Selain Sekretariat Prihatin Orang Kurang Upaya, LKKP di peringkat pusat turut membentuk unit-unit lain bagi menggalas tanggungjawab tersebut. Unit-unit lain tersebut termasuklah Unit Semarak Kasih Ramadan, Qurban Perdana, Skuad Prihatin, Baitul Muslim, Kem Anak Soleh, Ziarah Prihatin, Jaringan Kebajikan Sivil @ NGO, Asnaf, Kebajikan Antarabangsa (Mustadh'afin), dan Dana. Misi Negara berkebajikan yang telah dihebahkan dan diterima sebelum ini adalah menjadi teras utama kepada LKKP pusat dalam usaha membawa PAS kepada masyarakat umum.
Gerak kerja ini akan lebih terserlah dengan dokongan seluruh umat Islam umumnya dan para penyokong dan pendokong PAS khususnya. Setiap mereka yang ingin bersama kami tapi terbatas dengan kekangan masa dan tenaga, memadailah memberi sumbangan kecil sebanyak RM10 setiap bulan ke akaun LKKP bagi memastikan gerak kerja yang ingin dilakukan tidak terlalu dibatasi dengan kekangan kewangan. Ayuh, mari bersama kami menyemarakkan perjuangan jihad ini dengan melebarkan sayap berkebajikan ke setiap jiwa di setiap ceruk alam.
Sumbang kepada Dana Kami Prihatin, Bank Islam (M) Bhd, No. akaun: 1211-3010-026-150.