KUALA LUMPUR - Pemimpin lebih 40 NGO Islam memberikan 20 sebab mengapa pengundi Kajang perlu menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim pada PRK 23 Mac ini.
Presiden Jati, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang mengetuai kumpulan itu mengakui pihaknya meragui Anwar dalam isu akidah apabila beliau dikatakan bersetuju dengan fahaman pluralisme agama.
"Dalam isu kalimah ALLAH, Anwar menyokong penganut agama lain menggunakan kalimah itu," katanya pada sidang media di sini semalam, yang turut dihadiri oleh Pengerusi Yayasan Murni Aqidah, Datuk Aidit Ghazali dan Pengerusi Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Mohamed Hafiz Nordin.
Hadir sama pada sidang media itu, Pengerusi Biro Agama Perkasa, Dr Shamsuddin Moner Al-Askari dan Pengerusi Muslim UPRo, Azril Mohd Amin.
Hasan berkata, pihaknya akan mendedahkan lebih lanjut mengenai perkara itu bermula 11 Mac ini, iaitu hari penamaan calon.
“Kami akan dedahkan kesemua 20 sebab yang bagi kami adalah sebagai alasan syarie mengapa Anwar Ibrahim perlu ditolak oleh pengundi dalam bentuk ceramah dan sebaran melalui laman sosial sehingga hari mengundi 23 Mac ini.
“Kami mewakili NGO Islam sepakat untuk turun padang pada pilihan raya itu bagi memberi penerangan kepada pengundi mengenai siapa sebenarnya Anwar,” katanya.
Sementara itu, Aidit berkata, banyak ideologi Anwar dilihat jauh menyimpang daripada syariah Islam sebenar sehingga sukar untuk beliau membawa Islam secara teguh kepada negara.
“Ditakuti juga jika Anwar menang di Kajang dan diangkat menjadi MB, akan jadi perkara tak diingini di negeri kita," katanya.
Oleh itu, beliau mengingatkan pengundi Kajang agar tidak termakan janji Anwar.