HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Lim Kit Siang mengulang seruan Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh untuk memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim menang besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang.
Menurutnya, majoriti kecil adalah satu kekalahan, justeru Pakatan Rakyat mesti mensasarkan satu kemenangan bersejarah, yang akan membuka pencapaian dan kejayaan yang lebih besar untuk tahun-tahun akan datang.
Menurut beliau PRK Kajang adalah yang paling penting dalam sejarah Malaysia kerana ia bukan hanya penentu masa depan Kajang dan Selangor, malah seluruh negara.
“Ia bukan sekadar tentukan siapa yang akan menjadi wakil di Dewan Undangan Negeri serta corak kepimpinan dalam politik Selangor, malah paling penting, corak politik di Putrajaya.
“Maka, ketiga-tiga komponen Pakatan Rakyat perlu memastikan kemenangan besar Anwar, yang pasti akan memberikan mesej bahawa (kerajaan pusat) Putrajaya sedang menunggu perubahan pada Pilihan Raya Umum ke-14,” kata Ketua Parlimen DAP itu dipetik Roketkini.
Dalam wawancara bersama Roketkini kelmarin, Karpal menggesa jentera DAP agar berusaha ‘berhabis-habisan’ bagi memastikan Anwar mendapat majoriti besar pada PRK itu nanti.
Anwar bakal berhadapan Naib Presiden MCA, Chew Mei Fun dan kemungkinan besar bekas Menteri Undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim pada 23 Mac nanti.
Sehubungan itu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah meminta PKR, PAS dan DAP bersatu padu bagi mencapai matlamat itu.
Menurutnya, ada kebimbangan melihat perkembangan Pakatan dan PKR di Selangor kebelakangan ini.
“Musuh sebenar Anwar bukan calon BN atau pun Bebas, tetapi perselisihan dalaman parti,” ujarnya.
Justeru beliau menggesa ketiga-tiga parti supaya segera menyelesaikan sebarang masalah yang ada dan mengenepikan perbezaan agar tidak menjejaskan kemenangan pada PRK Kajang, yang boleh menutup sebarang peluang perubahan politik daripada berlaku.