KUALA LUMPUR, : DAP menyelar kenyataan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang mendakwa kemorosotan teruk populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah kerana ketiadaan MCA dalam Kabinet.
Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke Siew Foke berkata, kenyataan itu jelas tidak munasabah dan menunjukkan betapa MCA amat gilakan jawatan sehingga sanggup merayu kepada Najib.
“Merepek! Cakap sajalah nak bergabung semula dalam Kabinet dan tidak boleh hidup tanpa jawatan menteri.
“Kenyataan itu tidak relevan. Dengan atau tanpa MCA, ketidakpuasan rakyat terhadap Najib dan BN adalah kerana rasuah yang semakin menjadi-jadi dan pembaziran dalam pemerintahan serta peningkatan biaya hidup,” katanya dipetik daripada laman sosial Facebook beliau.
Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua Kiam Wee turut mengherdik rayuan MCA itu yang disifatkan cukup menggelikan hati.
“Astaga, air mata saya mengalir tanpa henti selepas membaca kenyataan itu,” ujarnya sinis.
Tiong Lai yang juga Timbalan Presiden MCA pada sidang media selepas merasmikan perhimpunan agung tahunan MCA, hari ini turut mendakwa berdasarkan kaji selidik terbaru Merdeka Center, banyak isu masyarakat Cina tidak diketengah dan diselesaikan akibat keputusan parti untuk tidak mengambil jawatan selepas PRU-13.
“Banyak isu perlu dibangkitkan di peringkat Kabinet dan diselesaikan dengan cepat. Kadang-kadang terdapat kelewatan dalam proses tertentu yang menyebabkan rasa tidak puas hati,” dakwa Tiong Lai.
Kaji selidik terbaru Merdeka Center menunjukkan populariti Najib jatuh paling rendah sejak memegang jawatan itu apabila ratingnya menjunam daripada 62 peratus Ogos lalu kepada 52 peratus pada Disember ini.
Kajian itu dibuat selepas pemotongan subsidi minyak oleh kerajaan pada September lalu, pembentangan Bajet 2014 yang memperkenalkan cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan peningkatan tarif elektrik mulai Januari 2014. – Roketkini.com