Quantcast
Channel: AR RISALAH الــرســالـة
Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722

PKR desak Najib tunjuk kesungguhan Rekonsiliasi Nasional, tangani kumpulan ekstrem

$
0
0
OLEH MD IZWAN





























PKR hari ini mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menunjukkan kesungguhan ke arah Rekonsiliasi Nasional dengan menangani kumpulan-kumpulan ekstrem terlebih dahulu.

Setiausaha agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata, isu-isu kontroversi yang berkaitan kaum dan agama perlu segera ditangani Putrajaya, tidak boleh tunggu sehingga tiga bulan ia dilancarkan.

"Yang segera untuk tunjuk kesungguhannya adalah bagaimana nak redakan keresahan rakyat terhadap isu ketegangan kaum dan agama yang sekarang menjadi-jadi," kata Saifudin pada sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

"Maksudnya kita tidak boleh tunggu tiga bulan lagi dilancarkan pelan Rekonsiliasi Nasional barulah isu-isu berkaitan kehidupan rakyat yang terbeban dan ketegangan kaum ditangani."

Saifuddin berkata gesaan itu adalah ujian litmus kepada Najib sekiranya bersungguh-sungguh untuk melihat Rekonsiliasi Nasional antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) dapat menjadi kenyataan.

"Yang segeranya, iaitu isu soal kaum dan agama, soal kos sara hidup.

"Yang ini harus disegerakan sebagai satu ujian litmus kepada kesungguhan perdana menteri," katanya lagi.

Beberapa insiden provokasi agama dan kaum menggemparkan negara kebelakangan ini, bagaimanapun pentadbiran Najib masih dilihat bermain tarik-tali dan tidak menunjukkan ketegasan terhadap kumpulan tertentu.

Januari lalu, sebuah gereja, Church of the Assumption di Lebuh Farquhar, Pulau Pinang diserang bom buatan sendiri dikhuatiri mempunyai kaitan dengan kain rentang kontroversi kalimah Allah.

Insiden provokasi juga berlaku di Pulau Pinang bulan lalu apabila sekumpulan 600 peserta termasuk ahli Umno Pulau Pinang berkumpul dengan membawa ugutan insiden berdarah rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Himpunan tersebut dianjurkan bagi membalas tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubuk, Lee Khai Loon menyuap kangkung ke dalam mulut replika Najib.

Kumpulan tersebut membawa bersama sepanduk provokasi tertulis: "Kerana mulut pemimpin DAP berlakunya 13 Mei 1969... adakah anda mahu lagi?"

Mesej lain yang disampaikan seperti “Hina PM seperti hina Melayu”, "Melayu Pulau Pinang bertahan kerana makan kangkung" dan "ABCD - Asal bukan Cina DAP" dan "DAP musuh Islam”.

Malah, awal bulan ini, sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam juga menganjurkan satu perhimpunan berbau provokasi dengan menyembelih dua ekor ayam serta menawarkan RM1,200 kepada individu yang berjaya menampar pemimpin DAP, Teresa Kok yang juga Ahli Parlimen Seputeh.

Saifuddin bagaimanapun mengalu-alukan dan menghargai usaha yang ditunjukkan oleh Najib apabila bersetuju dengan cadangan rekonsiliasi tersebut.

"Kami mengalu-alukan kenyataan dan menghargai langkah perdana menteri ini," katanya lagi.

Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang dalam sidang media sama menggesa supaya Putrajaya bersama Pakatan Rakyat (PR) duduk semeja membincangkan rangka kerja ke arah Rekonsiliasi Nasional dan tidak hanya menerusi pengumuman dalam media sahaja.

"Kami mahu semua parti duduk bersama dan bincang rangka kerja untuk tangani isu antara agama dan kaum ini.

"Rangka kerja yang besar penting, kita boleh cakap apa sahaja, tetapi ia tidak ke mana walaupun secara prinsipnya kita berdiri atas pendirian sama," kata Chua.

Pada 30 Januari lalu, Putrajaya akhirnya menyambut pelawaan Pakatan Rakyat (PR) untuk mengadakan rekonsiliasi nasional dengan gabungan pembangkang tersebut.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 28722