Oleh Ahmad Tajuddin Abdullah
Seperkara lain, tindakan Dong Nguyen menarik semula permainannya setelah tidak mampu lagi melayan permintaan pelik penagih Flappy Bird juga mengejutkan ramai pihak. Semua orang bermimpikan mahu menjadi seperti Dong, bangun pagi kemudian terlintas satu idea yang mudah di benak dan terus laksanakan idea itu sebelum dalam masa yang singkat menjadi begitu berjaya.
Pendek kalam, Dong Nguyen bertaubat. Katanya, dia tidak kejarkan wang ringgit tetapi ketenangan hidup dan kebahagiaan. Adanya Flappy Bird, ternyata kedua-dua elemen itu diragut.
Ini kisah manusia yang diberi tuhan rezeki dalam masa yang singkat, menjadi kaya dan terkenal kemudian bertaubat. Gayanya mencerminkan dirinya tidak senang dengan pujian melangit dan harta yang melimpah ruah sehingga tidak habis makan untuk beberapa keturunan.
Lain pula kisah seorang lelaki tua di wilayah telaga minyak Malaysia, Taib Mahmud. Jika dihitung bilangan hari yang berbaki untuk dia terus melihat dunia dengan umurnya sekarang, boleh dikatakan nisbahnya menggembirakan bakal pewaris harta peninggalannya.
Lelaki tua ini sudah lebih tiga dekad di kerusi Ketua Menteri Sarawak. Nilai kekayaannya tidak mampu dihitung. Segala macam hasil bumi Sarawak bermula dari ceruk hutan sehingga ke bawah dasar laut semuanya memberi pulangan komisen yang lumayan kepada lelaki tua ini dan anak beranaknya.
Namun begitu, kisah hidupnya menjengah 2014 mengejutkan ramai orang. Dia mengambil keputusan melepaskan jawatannya. Semua orang bercakap mengenai hal itu kerana rata-rata menjangkakan jawatan itu akan dibawa sehingga jenazahnya diusung ke tanah perkuburan.
Bersyukur, akhirnya Taib Mahmud bertaubat. Gamaknya begitulah benak rakyat marhaen berfikir. Tidak sampai sejenak dia mengumunkan untuk turun jawatan, dia menyuarakan hasrat hatinya untuk mengambil alih kerusi Tuan Yang Terutama (TYT) Sarawak menggantikan sosok sekarang.
Terhenyak rakyat sekalian mendengar perkhabaran ini. Makin tua, makin menjadi. Makin lanjut usia, makin kebulur dengan jawatan. Makin hampir dipanggil tuhan, makin pelahap merebut kuasa.
Taib Mahmud ini, jika dihisab segala harta kekayaannya sudah tentu ia mampu membeli dua per tiga tanah Semenanjung. Maka tertanya-tanya, apakah yang mahu dikejar lagi oleh orang tua ini? Anak kecil di rumah tidak cukup makankah?
Berbeza dengan Dong, Taib Mahmud tidak kisah dicerca orang ramai dan ditekan sana sini. Orang tua ini dilihat tidak tergugat sedikit pun. Baginya, kebahagiaan itu adalah dengan terdaftar namanya di puncak jawatan tertinggi di bumi Sarawak.
Bertaubatnya Dong memungkinkan penyakit ketagihan permainan Flappy Bird turut terhenti. Dunia semakin baik apabila manusia kembali sedar tanggungjawab asasi mereka berbanding mengadap paparan mobil. Penjawat awam mula kembali produktif setelah permainan Flappy Bird tidak lagi berfungsi.
Turunnya takhta Ketua Menteri tidak memberi apa-apa perubahan kepada rakyat Sarawak. Miskinnya masih di tahap yang sama. Malah lagi sakit apabila negara terpaksa berbelanja besar pula untuk mengadakan pilihan raya bagi mencari pengganti Taib Mahmud kerana untuk menjadi TYT dia tidak boleh memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan.
Resmi di dunia, adalah seperti mana yang ditunjukkan oleh Dong. Cukup puas dengan keadaan yang sederhana dan tenang. Ahli sejarah sudah tentu terkejut dengan Taib Mahmud ketika mereka mahu menulis cacatan sejarah kelak. Manakan tidak, rata-rata pemimpin dunia memilih untuk berehat setelah puas meragut harta negara dan kembali ke kampung menjalani kehidupan sebagai rakyat biasa.
George Washington memilih untuk berehat setelah dua penggal di kerusi Presiden Amerika walaupun dia tidak mendapat tentangan langsung untuk meneruskan hayat politiknya ke penggal ketiga. Resmi ini menjadi ikutan pengganti beliau sebelum ia digazet dalam buku perundangan. Bukan di bumi Amerika sahaja, di negara lain juga tolak diktator kuku besi dan sultan, kebanyakannya memilih untuk berehat setelah berjaya menduduki posisi tertinggi di suatu negeri.
Benarlah kata cerdik pandai, manusia ini rambut sama hitam tapi hati lain-lain. Taib Mahmud sudah buktikan, sebagai seorang pemimpin politik yang tidak pernah merasa puas mencicip manisnya kuasa biarpun sudah di penghujung usia.
Jadinya, jika ada pihak yang mahu mengusahakan kelas pemikiran yang mengembangkan falsafah kesederhanaan Dong Nguyen sudah tentu usaha ini digalakkan. Sudah pasti perlu diwajibkan setiap manusia yang berhajat untuk menjadi ahli politik di Malaysia menghadiri kelas pemikiran ini, wajib belajar dan berijazahkan falsafah Dong Nguyen agar tidak lahir lagi manusia seperti Taib Mahmud.
Mundurnya negara ini, sehingga terperuk di bawah setiap ranking yang wujud di atas muka dunia adalah bermula daripada berleluasanya orang seperti Taib Mahmud di kerusi politik.
Kehalobaan mereka bukan sahaja memusnahkan alam sekitar, malah membunuh ramai jiwa yang merdeka di tanah air sendiri.
Moga tuhan melindungi bumi Sarawak daripada memperoleh TYT bernama Taib Mahmud. – Roketkini.com