KUALA LUMPUR: Siri provokasi dan kempen kebencian oleh pihak tidak bertanggungjawab terhadap kebebasan dan keharmonian awam tidak akan berakhir selagi pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan terhadap mereka yang terbabit, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Beliau mengulas insiden simbahan cat merah di depan pejabat Malaysiakini, pagi semalam, seminggu selepas serangan sama ke atas pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok Suh Sim.
“Serangan ini berlaku sebaik selepas pejabat Teresa mengalami perkara yang sama dan banyak laporan polis dibuat.
“Walaupun insiden ini, termasuk ancaman untuk mencederakan Teresa berlaku di tempat awam dan dilaporkan media, tiada sebarang tindakan dikenakan kepada pesalah,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, sikap pihak berkuasa yang tidak tegas menyebabkan ‘ejen’ kebencian dan keganasan semakin berani meneruskan agenda mereka.
“Kami yakin kempen intimidasi mereka tidak akan berhenti kecuali tindakan segera diambil untuk membendungnya,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi.
Antara insiden yang berlangsung sejak awal tahun ini adalah ugutan pengulangan tragedi ‘13 Mei’ oleh UMNO Pulau Pinang, serangan ‘molotov cocktail’ terhadap gereja serta berita palsu berhubung pengedaran Bible berbahasa Melayu di sebuah sekolah – kedua-duanya berlaku di George Town.
Pada 19 Februari lalu pula, pejabat Teresa Kok disimbah cat merah, serta ditinggalkan bangkai ayam di tangga menaiki pejabatnya. Malah, sekumpulan NGO juga membuat tawaran wang kepada sesiapa yang berjaya menampar Teresa.
Justeru, katanya lagi, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu mengecam dan bertindak ke atas pihak yang bertanggungjawab jika tidak ingin berhadapan dengan kemarahan rakyat.
“Sangat menyesalkan, Ahmad Zahid seolah-olah merestui ancaman itu dengan mengatakan ia tidak menyalahi undang-undang.
“Rakyat Malaysia menuntut beliau mengecam dan bertindak, bukannya membiarkan kempen keganasan itu berterusan atau bakal berhadapan kemarahan rakyat pada pilihan raya umum akan datang,” katanya lagi. -Roketkini.com