KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada Rabu menafikan penjualan uniform bercorak digital (digital camouflage) yang dijual menerusi laman sosial Facebook atau secara online didalangi pembekal atau pihak ATM sendiri.
Raja Mohamed Affandi berkata, hasil siasatan mendapati pengeluar yang dilantik tidak terlibat dengan kegiatan penjualan uniform tersebut secara online.
"Untuk mengelak kekeliruan, kita telah buat siasatan mengenai perkara itu. Kita dapati uniform tersebut bukan dijual oleh pembekal yang dilantik ATM.
Beliau berkata demikian pada wawancara khas sempena Hari Tentera Darat Ke-81 di Kementerian Pertahanan di sini, Rabu.
Ketika ditanya sama ada individu yang memakai pakaian pasukan keselamatan akan dikenakan tindakan, Raja Mohamed Affandi berkata, setakat ini tiada undang-undang khusus bagi kes itu.
"Undang-undang bagi kesalahan memakai pakaian tentera atau mana-mana uniform pasukan keselamatan harus dikuatkuasa di negara kita," katanya.
Buat masa ini, undang-undang yang digunapakai adalah bagi kesalahan menyamar sebagai penjawat awam iaitu pesalah akan didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Dalam perkembangan berasingan, Raja Mohamed Affandi berkata, pihaknya tidak merancang untuk menggantikan helikopter Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) jenis Agusta A-109 LUH yang terhempas di sebuah kawasan hutan berhampiran Empangan Bekok, Segamat bulan lalu dengan pesawat yang baharu.
Jelas beliau, PUTD masih berupaya untuk melaksanakan operasi seperti biasa dengan 10 lagi pesawat sedia ada.
"Setakat ini kita tidak ada rancangan untuk membuat perolehan penggantian helikopter tersebut. Jatuh satu tetapi kita ada 10 lagi helikopter. Saya rasa dengan 10 pesawat itu PUTD masih mampu melakukan operasi," katanya.
Pesawat pemerhati ringan Agusta A-109 buatan Itali itu mula digunakan PUTD pada 2003 bagi menggantikan helikopter Alloutte II yang dipinjamkan dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Dalam insiden tersebut, empat anggota tentera termasuk juruterbang dalam helikopter yang sedang melakukan latihan penerbangan itu selamat.
Sementara itu, Raja Mohamed Affandi turut mengumumkan sambutan Hari Tentera Darat Ke-81 akan diadakan di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 1 Mac ini.
"Port Dickson dipilih kerana ia merupakan tempat bersejarah bagi Tentera Darat dan mempromosikan kawasan itu kepada pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2014," katanya.