KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR : Spekulasi dua menteri kabinet bakal meletakkan jawatan bukti kegagalan prestasi dan kelemahan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, berkata, beliau tidak terkejut jika dalam masa terdekat ada mana-mana lagi menteri kabinet bertindak meletakkan jawatannya.
“Saya tidak terkejut jika ada mana-mana menteri yang bertindak drastik dengan meninggalkan kabinet Najib.
“Ini kerana Perdana Menteri itu sendiri telah gagal menyelesaikan banyak isu, terutama isu hubungan antara kaum dan masalah agama,” kata Johari ketika dihubungi Keadilandaily.
Media baru-baru ini melaporkan spekulasi bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek akan meletakkan jawatan.
Perkara itu dikuatkan dengan peletakan jawatan Pengerusi Hindraf, P Waytha Moorthy dari semua jawatan kerajaan dan Dewan Negara berkuat kuasa 10 Februari lalu.
Ini berikutan rasa tidak berpuas hatinya dengan corak pentadbiran Najib yang menurutnya tidak memperdulikan nasib masyarakat India di negara ini.
Menurut Johari, ini berdasarkan prestasi Najib Razak yang semakin lemah sehingga menyebabkan menteri kabinet sendiri hilang rasa keyakinan terhadap pentadbiran Najib.
“Najib juga dilihat telah gagal menangani masalah rasuah dan keborosan selain tandus idea untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.
“Ini menyebabkan kabinetnya sendiri sudah mula goyah,” jelas Johari.