KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh, berkata Kementerian Pendidikan akan tetap meneruskan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) kerana pelaksanaan itu yang dimahukan oleh semua rakyat di negara ini.
Beliau berkata, sebelum ini rakyat Malaysia meminta kementerian menukar sistem pendidikan Malaysia untuk tidak berorientasikan peperiksaan.
"Kita tetap akan meneruskan sistem PBS kerana ini yang dimahukan semua rakyat, kita tidak akan sesekali memansuhkan, hanya menangguhkan untuk penambahbaikan," katanya pada sidang media Pameran Kejayaan Universiti Penyelidikan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan mengumumkan penambahbaikan sistem PBS pada 1 April depan.
Terdahulu kerajaan mahu menangguhkan pelaksanaan PBS sehingga kenyataan mengenainya dibuat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam masa terdekat.
Ketua Pengarahnya Datuk Dr Khair Mohamad Yusof dalam satu kenyataan semalam berkata pihaknya akan memaklumkan hasil penelitian dan kajian semula berkaitan PBS setelah Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin berpuas hati dengan penambahbaikan yang dicadangkan.
Katanya penambahbaikan itu mengambil kira dapatan kajian terbaharu KPM, rungutan guru dan mengambil kira pandangan masyarakat termasuk Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM).
Mengulas mengenai kesukaran yang dihadapi oleh guru, Idris berkata, pihaknya memahami situasi tersebut.
Katanya, selama tempoh pemansuhan kerajaan akan mengkaji bentuk baru sistem PBS yang tidak membebankan guru.
"Kita faham dan mendengar rintihan guru dan ibu bapa. Kita membuat kajian selama dua tahun mengenai sistem ini. Isteri saya pun guru dan kita selalu berhubung sehingga ke akar umbi bagi menambahbaik sistem.
"Buat masa ini guru jangan runsing dan tidak perlu penerangan tentang sistem ini kerana mereka hanya perlu fokus pada pembelajaran sahaja," katanya yang dipetik The Malaysian Insider.
Beliau berkata, sistem PBS merupakan kaedah yang terbaik untuk dilaksanakan di negara ini.
"Kerajaan sudah memutuskan dan PBS adalah sistem yang terbaik untuk dilaksanakan namun isunya di sini adalah pelaksanaan saja.
"Daripada segi objektif dan dasar PBS tidak ada masalah, hanya kita perlu perkemaskan lagi pelaksanaannya dan ini akan diumumkan pada 1 April ini," katanya.