
Ketua Umno bahagian Sungai Besar itu berkata, beliau masih lagi berada dalam suasana sambutan Hari Raya Aidil Adha dimana esok perlu menghadiri banyak program Korban di kawasannya.
"Besok saya di Sungai Besar. Masih lagi sambutan raya, esok ada lagi acara korban, jadi saya langsung tidak akan terlibat dalam perhimpunan esok, Saya tidak akan hadir," katanya kepada pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di Selangor malam ini.
Beliau pada masa sama berharap tidak akan berlakunya sebarang perhimpunan dan rusuhan di Jalan Petaling. "Tidak ada kaitan saya, esok saya akan menunaikan tanggungjawab sebagai ketua bahagian di Sungai Besar, kita ada banyak lembu yang dikorbankan.
"Jadi saya berharap tidak akan berlaku sebarang perhimpunan dan rusuhan di Petaling Street dan khabar angin yang tersebar tidak akan berlaku," katanya.
Beliau juga menegaskan kehadirannya di balai polis adalah berkaitan dengan laporan kes fitnah di laman sosial terhadap dirinya dan tidak ada kena mengena dengan perhimpunan di Jalan Petaling.
"Saya dipanggil untuk beri kenyataan mengenai laporan fitnah terhadap diri saya dan keluarga.
"Antaranya ialah fitnah yang kata saya nak ludah muka Tun Dr Mahathir Mohamad, nak pijak gambar beliau dan fitnah skandal saya dengan orang ," katanya.
Jamal berkata, beliau mengupah 10 peguam bagi mewakili dirinya dalam kes tersebut bagaimanapun hari ini hanya ditemani 2 peguam kerana dakwanya yang lain masih bercuti.