AHMAD FAZLAN

Azwan Ali yang meluahkan pendiriannya menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika diwawancara Sinar Harian, hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR, “Sebab saya memang berangan nak jadi perdana menteri.”
Itu kata selebriti, Azwan Ali yang meluahkan pendiriannya menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika diwawancara Sinar Harian, hari ini.
Katanya, jika jawatan itu diberikan kepadanya, perkara pertama yang ingin dilakukannya adalah menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan pemberian petrol secara percuma selama sebulan.
Namun jelasnya, semua itu gara-gara kenyataannya dahulu dalam sebuah majalah namun artikel itu menjadi viral semula.
“Kalau kerusi itu diberikan kepada saya, hari ini juga… Kalau Najib sanggup berundurlah… memang saya cepat-cepat naik. Pertama, saya hapuskan GST dan munyak percuma selama sebulan.
“Ramai yang ketawa saya kan? Tapi itu bukan artikel palsu. Itu kenyataan saya kepada Media Hiburan bertahun-tahun dulu,” katanya.
Azwan juga mempersoalkan sikap sesetengah masyarakat yang membenci dan menghina Najib berhubung isu dana RM2.6 bilion, sehinggakan kesannya turut terpalit kepada isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
“Apa masalah rakyat jelata yang menghina Najib. Dia belum lagi liwat orang, belum lagi kencing di Dataran Merdeka, belum lagi terpekik di tengah jalan macam orang gila. Setakat dia dapat RM2.6 bilion. Kenapa benci sangat?
“Hakikatnya Najib pun tahu, orang anti Datin Seri Rosmah. Bertahun-tahun cerita itu. Tapi lihat Datin Seri Rosmah…kau katalah dia apa pun. Tetap ‘steady’.
“Sifat Datin Seri Rosmah yang kuat ini saya sangat ‘respect’. Saya nampak beliau mengatasi Najib dari segi penghinaan itu. Letak diri anda dalam keadaannya. Seingat saya, Rosmah dihina sejak hari pertama Najib berkuasa. Sekarang dah bertahun Najib jadi perdana menteri, baru nak dikecam. Kalau isterinya boleh ‘survive’, Najib pun mampu,” katanya lagi.
Ujarnya, beliau lebih menyokong kepada pimpinan parti yang mana lebih menjamin masa depan di samping di samping berpegang kepada prinsip menghormati pemimpin.
“Selagi Datuk Seri Najib kekal berkuasa, belum lagi ditangkap atau dipenjarakan…digugurkan dari jawatan perdana menteri atas kesalahan apa jua, saya akan terus menyokong dia.
“Sebab yang bercakap ini semua menyalak sahaja…tiada bukti pun.
Dalam pada itu, Azwan mengakui komunikasinya dengan abangnya, Mohamed Azmin Ali agak terbatas sejak menjadi Menteri Besar Selangor.
Namun, jika ada kesempatan untuk berjumpa, hanya empat soalan sahaja diajukan kepada abangnya.
“Sejak abang naik menjadi menteri besar sampai hari ini, tiada sebarang komunikasi antara kami. Sebelum jadi menteri besar nak jumpa dia seminit pun susah, inikan pula selepas dia menjadi menteri besar?
“Empat sahaja soalan yang akan saya tanya apabila jumpa dia iaitu apa khabar?, bagaimana semuanya?, sedang buat apa sekarang? dan boleh ‘selfie’?. Saya tak tanya berapa kerusi dia ada, berapa kerusi atas kepala dia? Saya tak akan ambil tahu apa-apa tentang politik dia.
“Tapi saya akan borak panjang dengan kakak iparnya, Shamsidar Tahrin tentang macam-macam perkara,” jelasnya.