AHMAD LUTFI OTHMAN
Indeks Kebebasan Media Malaysia tahun 2014 berada pada kedudukan ke-147 daripada 180 negara, merosot dua angka berbanding tahun lalu. Ini bukan saja rekod terburuk negara, sejak 12 tahun ia diukur, malah di tangga lebih bawah daripada Myanmar.
Pada tahun-tahun awal indeks kebebasan akhbar ini dilaporkan, misalnya pada 2002, Malaysia mendapat tempat ke-110, tahun 2003, tangga ke-104 dan 92 pada 2006. Di bawah era Najib Razak, kedudukan negara menjunam ke tahap 141 (2010), 145 (2013) dan 147 (2014).
Kebanyakan negara jiran, misalnya Brunei, Thailand dan Indonesia mengatasi kita. Hanya Singapura, pada tangga ke-150, berada di bawah Malaysia.
Namun begitu, mungkin tidak ramai mahu ambil peduli dengan penyenaraian pemantau bebas berpusat di Perancis, Wartawan Tanpa Sempadan itu.
Walaupun kebebasan akhbar merupakan intipati penting dalam sistem demokrasi, namun majoriti rakyat jarang memberi perhatian serius, apatah lagi Malaysia sememangnya sejak lama dikenali sebagai negara yang mengongkong media.
"Bukan cerita baru lagi isu KDN tekan media. Wartawan pun tak ambil peduli. Semua dah anggap perkara biasa," kata seorang teman yang tidak lagi berminat apabila saya mengajaknya berbicara soal sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, 3 Mei nanti.
"Kalaupun nak sambut juga, jangan ulangi rutin, mesti fikirkan idea gila yang luar biasa," sambut seorang lagi rakan. "Kalau kita, aktivis media, nak turun demonstrasi di Putrajaya atau Dataran Merdeka, ada yang nak ikut?" pintas kawan yang ketiga, yang sudah bosan dengan acara forum, disusuli makan-makan, sembang-sembang dan bersurai.
Ya, pemerintah tetap mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan atau menolak permohonan permit, juga berhak menggantung dan menarik balik, atau mengharamkanya. (Dan saya pasti ramai pembaca yang mulai bosan apabila dapat mengesan saya kerap mengulangi isu basi ini, 'kan?)
Dalam kes pembatalan permit penerbitan FZ Daily, hanya selepas beberapa jam penerbitnya mendapat keizinan Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding terhadap KDN ekoran penggantungan permit tanpa sebab pada 28 Ogos 2013, ia lebih mengejutkan.
Bayangkan, bagaimana sebuah akhbar boleh diluluskan permitnya pada 20 Ogos 2013, dan tanpa menunggu lama, sekitar seminggu selepas itu, terus digantung dan kemudiannya dibatalkan, sedangkan ia belum pun diterbitkan!
(Penerbit FZ Daily, berpengalaman luas dalam dunia kewartawanan, khususnya setelah 20 tahun menerbitkan akhbar mingguan The Edge, yang kini melewati bilangan ke-1000, dan juga akhbar harian The Edge Financial Daily).
Tidak cukup setakat itu -- lagi tentang isu kebebasan media -- stesen radio perniagaan, BFM, dilarang daripada menyiarkan temubualnya dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.
Seperti penggantungan akhbar The Heat, saya lebih tertarik dengan daleh yang dikemukakan pihak berkuasa. KDN pernah memberi alasan kandungan The Heat bercanggah dengan mock-up asal yang dikemukakan penerbit.
Begitu juga dengan hujah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Nada dan skripnya serupa. Melambangkan kebebalan dan kontang idea. Paling menyerlah, menonjolkan "kebimbangan melampau" banyak pihak terhadap penampilan bergaya Anwar di Kajang.
(Saya tertarik dengan artikel Malaysian Insider, berjudul "Kenapa Putrajaya takut sangat Anwar?" Pandangan penganalisi dipetik: Khalid Ibrahim terbukti pemimpin yang baik, tetapi Anwar boleh jadi lebih baik untuk kedua-duanya, iaitu ekonomi dan politik. Satu lagi alasan Putrajaya hendak menutup peluang Anwar ialah beliau akan menggunakan RM3 bilion rizab Selangor dengan lebih baik berbanding Khalid, atau apa yang kerajaan BN boleh buat di Putrajaya.)
BFM dilarang menyiarkan wawancara Anwar disebabkan ia menyinggung hal politik (pastinya ada kaitan dengan pilihan kecil Kajang) walhal, bagi SKMM, "stesen radio itu dilesenkan mengikut tema berdasarkan genre yang mereka pohon -- iaitu berita, hal ehwal wanita, pelancongan atau perniagaan."
Difahamkan penerbit FZ Daily, The Edge Communications Sdn Bhd, mempunyai kepentingan sekitar 23 peratus dalam BFM. Rata-rata pemimpin Umno tidak senang dengan laporan akhbar The Edge dan juga laman fz.com. (Kandungan FZ Daily dibayangkan hampir menyamai laporan fz.com -- yang kini boleh dilayari secara percuma -- yang juga menyentuh isu-isu semasa dan situasi terkini politik).
Tahun lalu, wartawan fz.com tidak mendapat pas media untuk membuat liputan Perhimpunan Agung Umno. Elit parti pemerintah itu melihat laman berkenaan lebih cenderung kepada Pakatan meskipun pemiliknya juga rapat dengan PM Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi.
"Menariknya, pemilik The Edge dan FZ Daily merupakan seteru perniagaan kepada tuan punya akhbar Focus Malaysia dan The Heat," beritahu seorang wartawan senior kepada saya.
Beliau menambah, kebebasan akhbar di negara ini terjejas bukan hanya difaktorkan oleh KDN tetapi juga permusuhan sesama penerbit. "Dengar cerita, akhbar Sinar Harian yang nampak lebih bebas dan berani menyiarkan berita Pakatan Rakyat juga dicemburui oleh dua harian berbahasa Melayu lainnya. Mereka bimbang trend penurunan jualan akhbar menjadi lebih ketara bila saingannya ada scoop menarik," ujarnya.
Semasa saya cuba menghubungi rakan-rakan yang rapat dengan Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) bagi membincangkan sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, 3 Mei nanti, seorang daripadanya memberi respons:
"Waktu akhbar The Heat digantung, rakan-rakan media bangkit melawan. Baguslah tu, tapi bila seorang pegawai kanan tentera, Zaidi Ahmad didakwa kerana isu dakwat tak kekal, dia macam dibiarkan bersendirian?
"Bukankah isu proses pilihan raya yang bebas dan adil juga satu isu besar yang cukup kritikal. Dan tuntutan akses kepada media bebas adalah salah satu di bawah tajuk besar, sistem demokrasi yang pincang?"
Membaca teks SMS rakan saya itu, saya agak terkedu. Terpaksa diakui kes mahkamah Mejar (Udara) Zaidi Ahmad ini, berkaitan kenyataannya kepada media dan menghantar SMS berbaur politik dan hasutan pada hari mengundi, 1 Mei lalu, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kepala Batas dan Pangkalan Udara Butterworth, seperti tidak diberikan sorotan khusus, termasuk oleh Harakah dan media oposisi lainnya.
Laporan itu dibuat Zaidi dan dua yang lain kerana dakwat kekal yang dicalit di jari telunjuk tangan kiri mereka semasa pembuangan undi awal luntur apabila di basuh dengan sabun dan pencuci tangan.
Sedangkan pendedahan Zaidi merupakan satu lagi testimoni jelas terhadap kegagalan pembaharuan untuk melakukan penambahbaikan ke atas perjalanan pilihan raya kita, khususnya penggunaan dakwat kekal bagi mengelak pengundian berganda. Dia dituduh, antaranya, di bawah Seksyen 50 (2) Akta Angkatan Tentera 1972.
Di hadapan panel enam anggota pegawai tentera, Zaidi mengaku tidak bersalah. Beliau boleh dihukum penjara sehingga dua tahun jika didapati bersalah di atas pendedahan beraninya itu.
Meneliti laporan Harakah terdahulu, pada 3 Mei 2013, direkodkan, Mejar Zaidi Ahmad ditukarkan serta merta ke Kuala Lumpur. "Dengan arahan pertukaran ini, saya secara rasmi telah dilucutkan dari jawatan sebagai Pegawai Memerintah No 12 Skuadron Pangkalan Butterworth, dan terlepas peluang untuk dinaikkan ke pangkat Leftenan Kolonel TUDM," SMS beliau kepada media dipetik.
Selain itu, memang ada kenyataan atau ulasan, misalnya daripada pemimpin kanan PAS, seperti Naib Presiden Mahfuz Omar, pada 6 Februari lalu, yang menggesa TUDM membatalkan pendakwaan di Mahkamah Tentera.
"Pendakwaan ke atas Zaidi adalah tindakan tidak wajar malah akan memalukan institusi tentera memandangkan anggotanya itu hanya menzahirkan haknya sebagai seorang pemilih yang sah.
"Kes ini adalah hak dan kebebasan demokrasi berparlimen. Ia bukan kes salah laku dalam tentera secara khusus.Dia buat atas dasar hak dia sebagai seorang rakyat, dan terpanggil untuk menyatakan kepincangan yang berlaku dalam pilihan raya yang dia alami sendiri," tegas Mahfuz.
Malah, lebih jelas lagi Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menegaskan: "Jika Pakatan berjaya membentuk kerajaan Persekutuan, saya akan mencadangkan Mejar Zaidi Ahmad, dinaikkan pangkat.
"Saya menyeru kerajaan menggugurkan segala pertuduhan ke atas Zaidi kerana beliau sepatutnya diberi anugerah dan bukan dikenakan tindakan apabila bersuara tentang dakwat kekal semasa PRU13. Mengapa mahu dihantar seorang patriotik ke dalam penjara selama dua tahun hanya kerana berkata benar atas asas kejujuran?”
Sementara itu, semasa merasmikan mesyuarat agung Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (Pahlawan), 14 Februari lalu, Anwar turut menyentuh kes mahkamah Zaidi.
“Mejar Zaidi ini dilatih untuk berdisiplin dan berintegriti. Bila dia dapati dakwat kekal itu tak kekal jadi dia buat laporan polis. Ini satu malapetaka apabila orang yang tidak bersalah mahu dihukum," ujarnya.
Sambil melahirkan sokongan, Anwar berkata beliau akan bermesyuarat bersama pimpinan Pakatan Rakyat untuk membantu mempertahankan Zaidi.
Ketika banyak pihak menimbulkan isu persempadanan semula kawasan pilihan raya, yang sering dijadikan senjata utama oleh BN untuk menang mudah, persoalan dibangkitkan Zaidi juga relevan untuk dibahaskan.
Kempen besar-besaran di seluruh negara harus dilancarkan, bukan saja untuk membela dan memberi bantuan yang perlu kepada Zaidi, selain sokongan moral di atas sikap berani dan patriotismenya, tetapi juga menekankan kepentingan menggerakkan semula tuntutan menyeluruh bagi "membersihkan" seluruh sistem, proses dan perjalanan pilihan raya di Malaysia.
Bukankah selama berdekad lamanya, pengundi pos, dan kemudiannya pengundi awal, di kalangan anggota tentera dan polis dikatakan aset tetap buat kemenangan Umno-BN, terutama disebabkan mekanisme pengundian yang tidak telus, dan kini Zaidi telah menunjukkan teladan bagaimana patriotisme dan kesetiaan itu mahu didefinisikan secara lebih praktikal.